Bahasa

Profesor UM: ‘Pengajian sejarah kita sebenarnya silap’

SHAH ALAM, 8 Okt — Sementara polemik mengenai sejarah dan pejuang kemerdekaan menjadi kontroversi ketika menjelang sambutan Hari Kemerdekaan baru-baru ini, seorang ahli akademik berkata, pengajian sejarah di negara ini sebenarnya “silap.”

Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya menegaskan, rakyat negara ini tidak mengikuti proses pembelajaran sejarah secara menyeluruh dan “kita tidak memahami sejarah itu sendiri dari peringkat awalnya.”

“Sejarah ini ibarat mumia, masyarakat kita tidak melihat mumia itu secara keseluruhan, sebaliknya hanya melihat tunggul mumia itu sahaja,” kata beliau pada forum anjuran Akademi Pak Sako di bawah tajuk “Malaysia Dan Sejarah Yang Belum Selesai” di sini malam tadi.

“Kita harus melihat sejarah secara makro, secara keseluruhan sejarah, bukan hanya melihat satu petikan kecil di antara keseluruhan sejarah dan kita mentaksirkan itu adalah sejarah secara makronya,” kata beliau lagi.

Sambil menjelaskan sejarah adalah pemikiran yang akan tetap membawa ke akhir zaman, beliau turut menyangkal dakwaan sesetengah pendapat dan pendirian Majlis Profesor Negara (MPN) yang menyatakan dengan lantang Tanah Melayu tidak pernah dijajah.

“Saya minta maaf, saya bukan menentang, tapi saya mengkritik pendapat sedemikian. Tanah Melayu sebenarnya adalah tanah jajahan British, yang tidak dapat disangkal lagi,” katanya yang turut mendapat jolokan “Profesor Google” negara ini.

“Ketaksuban seorang sejarawan itu sendiri sebenarnya satu kesilapan, saya menolak seseorang individu itu sebagai sejarawan tulen sekiranya mereka lebih taksub kepada seorang tokoh berbanding melihat secara keseluruhan berkenaan tokoh itu,” ujarnya lagi.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh aktivis Hishamuddin Rais, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, penulis dan budayawan Hasmi Hashim, dan juga Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebagai ahli panel.

Penganjur berkata forum itu diadakan untuk memupuk budaya diskusi secara sihat dan beretika di kalangan masyarakat khususnya anak-anak muda dan menggalakkan perbincangan isu-isu yang dilihat penting dalam konteks Malaysia dengan merentasi latar bangsa, agama dan fahaman politik.

Selain itu, forum ini akan turut membincang dan mengupas pelbagai persoalan sejarah yang selama ini menjadi subjek perbualan dan perdebatan harian rakyat Malaysia.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.