Bahasa

Program ‘Jelajah Anak Malaysia’ jadi penghubung kerajaan dan rakyat

KUALA LUMPUR, 28 Jan — Program ‘Jelajah Anak Malaysia’ yang disertai gabungan 46 badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan belia bermula Rabu ini akan bertindak sebagai agen penghubung antara kerajaan dan rakyat.

Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) Mohd Shahar Abdullah berkata penganjuran program itu tahun ini juga dilihat lebih bersifat mendekati dan mendampingi rakyat di peringkat akar umbi sama ada di bandar mahupun luar bandar.

Beliau berkata program yang sebelum ini dikenali ‘Jelajah Aman Kampus’ itu sekali lagi digerakkan bagi memperkasa jaringan generasi muda demi memastikan suara dan pemikiran mereka terarah kepada satu matlamat iaitu demi kepentingan rakyat dan negara.

“Justeru kita tambah baik penganjurannya tahun ini dengan memasukkan aktiviti yang dinamakan ‘rakyat service centre’ (pusat khidmat rakyat) dengan kita berjaya kumpul 16 agensi kerajaan untuk membuka kaunter perkhidmatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, program yang dirangka dalam tiga fasa itu akan menjelajah selama 18 hari ke beberapa lokasi, bermula di Putrajaya, Rabu ini.

Fasa kedua program melibatkan jelajah ke Sarawak bermula pada 25 Februari  hingga 3 Mac, manakala fasa terakhir iaitu jelajah ke Sabah berlangsung dari 5 hingga 12 Mac. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.