Program seorang sarjan untuk satu rukun tetangga di Cheras dilaksanakan
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata sarjan polis yang ditempatkan bagi setiap rukun tetangga itu berperanan bagi membantu penduduk di kawasan Rukun Tetangga berkenaan dan sebagai tempat rujukan sekiranya berlaku kejadian jenayah.
"Di daerah Cheras, ada 66 rukun tetangga dan setiap Rukun Tetangga kita akan tempatkan seorang sarjan bagi membantu Rukun Tetangga, sekiranya berlaku kejadian jenayah, Rukun Tetangga akan melaporkan kepada sarjan yang telah dilantik di kawasan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Penyelarasan PDRM dan Rukun Tetangga Cheras.
Beliau berkata langkah itu merupakan yang pertama digerakkan polis daerah Cheras bagi meringankan beban masyarakat dan Rukun Tetangga bagi memastikan kawasan perumahan mereka bebas jenayah.
Mohan berkata kerjasama Rukun Tetangga amat dihargai dalam membantu polis menurunkan kadar jenayah dan sebagai satu inisiatif baru polis turut berkerjasama dengan Rukun Tetangga dengan melakukan rondaan setiap masa.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kuala Lumpur, Abdul Karim Abu Seman berkata pihaknya bercadang membekalkan 'walkie-talkie' kepada setiap Rukun Tetangga di Kuala Lumpur bagi memudahkan hubungan komunikasi ketika meronda.
"Saya lihat komitmen ahli Rukun Tetangga amat bagus sekali dalam menjalankan tugas sukarela ini, jadi cadangan saya ialah agar mereka dibekalkan dengan kemudahan walkie-talkie ketika menjalankan tugas," katanya. — Bernama




