Bahasa

Program tiga hari ESQ hanya permulaan dekati Islam

Oleh Syed Mu’az Syed Putra
July 28, 2010

Sebahagian daripada 250 peserta yang menyertai program motivasi tiga hari ESQ di Ampang dekat Kuala Lumpur baru-baru ini. Sebahagian daripada 250 peserta yang menyertai program motivasi tiga hari ESQ di Ampang dekat Kuala Lumpur baru-baru ini. KUALA LUMPUR, 28 Julai — Sepanjang tiga hari menyertai kursus motivasi anjuran ESQ Leadership Center seramai 250 peserta didedahkan dengan teknik-teknik memantapkan tahap kepimpinan dengan berpandukan pada al-Quran, hadis dan sunah.

Tinjauan mendapati pada hari pertama peserta didedahkan kepada teknik membangunkan kecerdasan spiritual (suara hati) dengan berpandukan tajuk kecil modul ESQ iaitu “Mengapa ESQ Penting Untuk Semua” dan “ESQ Perjalanan Luaran - Mengenali Alam Semestaraya”. Selain itu, peserta turut didedahkan dengan tajuk “ESQ Perjalanan Dalaman - Melihat Ke Dalam Diri dan Pemanduan Ke Arah Spritual”, “Karektor Seorang Pemimpin” dan “Proses Membersihkan Minda - Paradigma Ke Arah Spritual”.

Selama ini mungkin ramai yang lupa akan tanggungjawab mereka kepada Allah dan kursus ini dilihat dapat menyedarkan orang Islam tentang kepentingan agama dalam kehidupan seharian apabila peserta diperlihatkan dengan kewujudan alam semesta, nabi dan manusia melalui visual dan bunyi yang disampaikan sepanjang kursus itu.

Wartawan The Malaysian Insider yang turut menyertai kursus itu mendapati cara penyampaian melalui visual dan bunyi untuk membuktikan kekuasaan Allah memberi keinsafan di kalangan peserta.

Ini boleh dilihat apabila ramai peserta sama ada lelaki ataupun wanita menangis apabila ditunjukkan dengan visual tentang kuasa Allah, kebenaran dibawa Nabi Muhammad S.A.W dan juga al-Quran.

Selain itu, peserta juga disarankan supaya tidak melupakan tanggungjawab kepada Allah dan juga ibu bapa.

Pada hari kedua pula peserta didedahkan cara untuk membangunkan kecerdasan emosi dan prinsip nilai-nilai murni yang seharusnya ada dalam setiap diri manusia dan diterjemahkan ke dalam kehidupan seharian.

ESQ yang diasaskan Dr Ary Ginanjar Agustian menekankan konsep 165 iaitu satu ihsan, enam rukun iman dan lima rukun Islam.

Jadi sepanjang kursus ini peserta diterapkan dengan tujuh nilai dasar ESQ iaitu jujur, tanggungjawab, berwawasan, disiplin, kerjasama, adil dan prihatin yang perlu diamalkan dalam kehidupan seharian dan juga pekerjaan.

Ini kerana menurut salah seorang penceramah Aminul Rachman Pulungan, setiap dalam diri manusia ini adalah nilai-nilai murni, cuma ia dibelenggu oleh perkara-perkara negatif.

“Dalam hidup kita banyak unsur negatif yang membelenggu diri sehingga sukar untuk menonjolkan nilai-nilai muri yang ada dalam diri masing-masing.

“Sebab itu, apabila diri dibelenggu dengan unsur-unsur negatif, banyak perkara yang tidak elok kita lakukan seperti rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

“Jadi kita perlu membuang segala unsur negatif ini dengan berpandukan dengan nilai-nilai murni dan juga 99 sifat Allah seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan, baru kita akan rasa tenang dan bahagia selalu,” kata beliau dalam ceramahnya.

Selain itu, pada hari kedua peserta turut dibimbing cara untuk menetapkan matlamat dan prinsip dalam diri selain mengenali diri masing-masing dengan meletakkan cinta kepada Allah lebih daripada segala-galanya.

Di samping mendengar ceramah, kursus tersebut turut menyediakan permainan yang dapat memupuk kerjasama dalam satu pasukan, menyanyikan lagu “Jalur Gemilang”, berselawat ke atas nabi dan sembahyang berjemaah.

Pada hari ketiga pula peserta dilatih menjana nilai murni dan melakukan perubahan dengan mengamalkan prinsip pengurusan, meletakkan matlamat, pembentukan karektor, pengawalan diri dan juga kerjasama.

Menurut Aminul, setiap manusia perlu sentiasa berada dalam kedudukannya iaitu mengikut segala arahan Allah dan meninggalkan larangannya.

“Bagaimana jika manusia berada di luar kedudukannya? Pasti mereka akan rosak dan musnah, jadi setiap manusia perlu sentiasa berada dalam kedudukan yang ditetapkan.

“Bangkitkan nilai-nilai murni dalam diri dan gunakan dalam kehidupan seharian. Jangan sesekali lupa akan tanggungjawab kita kepada Allah dan sebagai orang Islam kita perlu sentiasa mengikut perintah-Nya,” katanya.

Dalam sesi hari terakhir itu, peserta ditayangkan visual tentang hari kematian, apa yang dibawa ketika sudah tiada dan ke mana arah selepas itu.

Jadi sebagai orang Islam, menurut Aminul, perlu sentiasa taat kepada perintah Allah kerana ia memang sudah termaktub dalam al-Quran.

“Apa yang kita akan hadapi di hari kematian jika kita sering melanggar perintah Allah? Adakah kita akan ke syurga ataupun neraka?

“Jadi apa yang kita perlu lakukan untuk sentiasa berada dekat dengan Allah? Ya, kita perlu sentiasa taat kepada perintah Allah, lakukan apa yang disuruh dan meninggalkan larangannya.

“Kita hanya boleh melakukan seberapa banyak kebaikan ketika masih hidup dan ia akan dinilai apabila kita sudah meninggal dunia,” katanya.

Apa yang menariknya tentang kursus ini adalah di akhir para peserta dapat melihat kesan mendalam diri peserta.

Mungkin keinsafan dan kesedaran yang diperoleh sepanjang kursus ini hanya sementara ataupun tidak ia terpulang kepada diri setiap peserta.

Justeru, Aminul berkata bahawa kursus tersebut hanya sebagai permulaan dan selepas ini peserta boleh mencari tokoh agama untuk lebih mendalami Islam.

“ESQ hanya sebagai pencetus untuk tambahkan ilmu dan kesedaran kepada peserta.

“Selepas ini, peserta boleh terus belajar dan mendalami agama Islam melalui tokoh-tokoh agama, jangan terhenti setakat ini sahaja.

“Terus belajar sampai bila-bila,” kata sebelum kursus itu tamat.

Sepanjang tiga hari itu, The Malaysian Insider mendapati kursus tersebut amat penting untuk memberikan kesedaran dan keinsafan dalam diri.

Bahkan teknik dan cara penyampaian menggunakan visual dan audio sungguh berkesan untuk memberikan impak yang besar kepada peserta.

Syarikat berkenaan mengendalikan latihan modal insan, dengan menggunakan kaedah yang melibatkan intelektual, emosional dan spiritual.

Selain itu, The Malaysian Insider juga mendapati tiada unsur-unsur penyelewengan akidah seperti yang ditegaskan oleh fatwa Mufti Wilayah Persekutuan.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi