Bahasa

Program transformasi sosial PM sasar kukuh nilai teras

February 09, 2013

KUALA LUMPUR, 9 Feb — Program Transformasi Sosial (STP) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 3 Feb, adalah bertujuan untuk mengukuhkan nilai-nilai teras, budaya kerja dan sikap dalam kalangan rakyat Malaysia. 

STP, satu daripada tonggak “Najibnomics” dibentuk bagi memanfaatkan potensi belia untuk membolehkan mereka menyalurkan tenaga mereka ke dalam aktiviti positif dan membina, berdasarkan kepada minat individu mereka. 

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Seri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata program itu dilancarkan serentak di 390 venue di seluruh negara baru-baru ini. 

Program itu mendapat sambutan amat baik dengan penyertaan lebih 1 juta sukarelawan belia, dalam inisiatif My Beautiful Malaysia, melibatkan pelbagai projek masyarakat. 

“Lebih banyak inisiatif akan dilancarkan untuk memupuk semangat kesukarelawanan, kecemerlangan, kesederhanaan, toleransi, hormat dan keterangkuman dalam kalangan belia bagi proses pembinaan negara,” katanya pada taklimat media di sini, hari ini. 

“Najibnomics” ialah satu set dasar ekonomi yang merangkumi idea-idea kreatif dan inovatif, strategi dan program Najib untuk mengangkat negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020. 

Mohd Irwan berkata STP akan membangunkan satu masyarakat yang berdaya tahan, kompetitif, inovatif dan kreatif yang seterusnya dapat membangunkan sebuah negara yang boleh menyesuaikan diri kepada perubahan dan cabaran ekonomi dunia dan persekitaran sosial. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi