Bahasa

Projek jalan raya di Sarawak bermasalah, kata Ketua Audit Negara

Oleh Md Izwan
October 15, 2012

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan  hari ini di parlimen mendapati projek membina dan menaik taraf jalan luar bandar di negeri Sarawak bermasalah malahan terdapat juga projek yang disifatkan sebagai “projek sakit” dan perlu diberikan perhatian.

“Sebanyak 101 projek bernilai RM437.57 juta yang disiapkan adalah tidak memuaskan, manakala 38 projek (37.6%) bernilai RM178.94 juta telah mengalami kelewatan antara 15 hingga 242 hari daripada jadual asal.

Sebanyak 13 projek sakit (17.6%) bernilai RM229.27 juta daripada 74 projek kerana kelewatan menepati jadual patut siap sebanyak 20%,” tulis laporan tersebut.

 Lebih memeranjatkan, laporan itu juga mendapati projek pembinaan jalan yang telah siap tidak mengikut spesifikasi kontrak dan kualiti pembinaan jalan, keselamatan dan keselesaan jalan tidak memuaskan pengguna jalan raya hasil daripada maklum balas yang diperoleh.

“Kebanyakkan projek yang tidak mengikut piawaian tersebut telah menimbulkan pelbagai masalah seperti jalan terlalu berbukit, turapan bitumen nipis, jalan tidak rata, jalan cepat rosak dan berlubang.

“Di samping itu, lawatan oleh pihak audit juga mendapati tiga projek (satu di Miri, dua di Samarahan) pembinaan jalan baru dan naik taraf jalan sedia ada bernilai RM 28.75 juta tidak memasukkan keperluan membina culvert dan jambatan yang sesuai dalam skop kerja kontrak.

“Selain itu, semakan pihak audit terhadap 25 sampel projek telah mengenalpasti tiga projek bernilai RM22.54 juta tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan seperti ketebalan road base aggregate dan premix,” tulis laporan tersebut.

Bagi tempoh tahun 2006 hingga 2011, Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) telah diluluskan peruntukan untuk melaksanakan 175 projek dengan nilai asal kontrak berjumlah RM1.727 bilion.

Daripada 175 projek ini, sebanyak 146 projek bernilai RM1.104 bilion dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKRS) manakala sebanyak 29 projek lagi bernilai RM622.84 juta dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (JPSS).

Bagi menangani dan mengelak daripada mengulangi masalah sama, pihak audit telah mengesyorkan kepada KKLW supaya lebih teliti dan menyeluruh dalam setiap projek pembinaan jalan baru atau naik taraf supaya projek berjalan dengan lancar tanpa gangguan.

Pihak audit juga menegur JKRS selaku agensi pelaksanaan projek ini perlu merancang secara holistik supaya objektifnya tercapai dan memberi nilai wang serta hasilnya kepada pengguna, memastikan setiap projek menepati spesifikasi, standard dan kualiti yang ditetapkan dan seterusnya boleh memberi keselesaan kepada pengguna dan memantau pelaksanaan projek dengan memastikan kawalan kualiti dilakukan sepanjang proses pembinaan sehingga Certificate of Practical Completion (CPC) dikeluarkan.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi