Bahasa

Proses pemutihan pekerja asing tanpa izin edisi 2010?

CYBERJAYA, 16 Julai — Di sebalik cakap-cakap mahu mengurangkan kebergantungan pada tenaga kerja asing, kerajaan menimbangkan kemungkinan untuk menjadikan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini sebagai tenaga kerja yang sah bagi menangani permintaan yang tinggi daripada golongan majikan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata ia merupakan sebahagian daripada 51 cadangan yang dikemukakan semasa sesi perbincangan bersama makmal kementeriannya tiga bulan lepas.

“Kementerian berdepan dengan dua masalah utama dalam menangani masalah kemasukan pendatang asing di negara ini iaitu pekerja asing secara haram dan permintaan untuk pekerja asing yang masih tinggi daripada golongan majikan,” kata beliau dipetik Bernama.

Oleh kerana permintaan yang masih tinggi, kemasukan pendatang asing berlaku secara berterusan dan kami sedang mencari mekanisme yang sesuai untuk menangani perkara ini dengan efektif, kata Subramaniam kepada pemberita selepas melancarkan Akademi Kreativiti dan Inovatif Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing di sini hari ini.

Menurut beliau, jumlah pekerja asing ''haram'' di negara ini masih tinggi.

Oleh itu kata beliau,ia menyukarkan kementerian untuk menangani perkara ini pada kadar segera.

Difahamkan, terdapat hampir dua juta PATI berada di Malaysia ketika ini termasuk yang bekerja di pelbagai sektor walaupun tanpa permit yang sah.

Dalam perkembangan berkaitan, Subramaniam berkata, struktur bayaran yang dikenakan oleh ejen pembantu rumah di Indonesia dan Malaysia masih berbeza menyebabkan timbul konflik untuk rakyat negara ini mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia.

Untuk mengatasi masalah itu, katanya pembantu rumah warga Kemboja, Selatan Thailand, Filipina dan Myanmar telah dikenal pasti sebagai punca tenaga yang baru untuk pilihan rakyat Malaysia menggaji pembantu rumah.

Sementara itu, Subramanian berkata, biasiswa yang diberikan oleh Universiti Lim Kok Wing kepada 50 belia miskin dari kaum India membawa manfaat besar untuk mengubah kehidupan mereka ke tahap yang lebih baik.

“Hanya yang benar-benar layak sahaja akan terpilih untuk menerima biasiswa ini dan ia adalah batu loncatan untuk mereka yang terpilih mendaki tangga kejayaan yang lebih tinggi,” katanya.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.