Bahasa

Proses peremajaan UMNO perlu juga tumpu kepada profesional muda

Oleh Shanur Shahrizad Syed Mohamed Sharer
May 16, 2012

KUALA LUMPUR, 16 Mei — Sambutan ulang tahun Umno ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil selama tiga hari sejak Jumaat lepas yang mendapat sambutan hebat daripada generasi muda, membuktikan proses peremajaan Umno semakin mendapat sambutan.

Malah kehadiran 70 peratus daripada 250,000 pengunjung ke majlis sambutan Umno itu terdiri daripada golongan belia, menafikan dakwaan pembangkang bahawa Umno kini sudah ‘layu’ kerana tidak didokong oleh generasi muda.

Malah kehadiran 70 peratus daripada 250,000 pengunjung ke sambutan ulang tahun Umno ke-66 terdiri daripada golongan belia, seperti tunjuk daripada gambar, kata Prof Ramlah. — Foto fail Choo Choy MayBagi Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr Ramlah Adam, walaupun Umno mendapat sokongan generasi muda, Umno perlu memberi ruang kepada penyertaan kumpulan professional muda yang disifatkan sebagai “penentu kuasa politik Umno”.

“Apabila dikatakan proses peremajaan Umno, penekanan seharusnya tidak keterlaluan kepada pengundi muda, tetapi kumpulan profesional muda berusia dalam 45 tahun ke atas merupakan kumpulan kritikal kerana kebanyakan mereka merupakan kumpulan atas pagar, selain cenderung kepada pembangkang.

“Mereka inilah yang harus diberi perhatian kerana kuasa politik kumpulan profesional muda inilah yang akan menentukan kuasa kerajaan pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama di sini.

Ramlah berkata Umno akan rugi jika golongan profesional dan cendekiawan muda ini “dipinang” oleh pembangkang ekoran kelemahan Umno untuk “menyunting” mereka terlebih dahulu.

Umno perlu mengelakkan daripada sikap “tidak mesra” kepada golongan ini, dan persepsi bahawa kritikan oleh golongan profesional muda menggambarkan penolakan total terhadap Umno juga perlu ditukar, katanya.

Beliau berkata ini kerana kritikan itu mungkin dibuat atas dasar rasa sayang kepada parti itu.

“Bukan semua tidak nampak apa diperjuangkan dan apa yang telah dilakukan oleh Umno selama ini. Cuma, mungkin kritikan yang dilemparkan itu adalah satu analisis. Mereka kritik kerana mereka sayang dan mahu Umno terus memperbaiki diri,” katanya yang menyifatkan kritikan-kritikan itu harus dihalusi oleh kepimpinan Umno.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Ma’rof Redzuan pula berkata, indokrinasi yang banyak dilakukan oleh pembangkang memerlukan Umno mengubah pendekatan dalam meraih kepercayaan dan keyakinan rakyat, khususnya generasi muda kepada parti itu.

Ma’rof berkata keperibadian dan kualiti pemimpin yang bersih serta telus dalam perjuangan menjadi faktor utama penilaian rakyat terhadap Umno, dan seterusnya menentukan kelangsungan parti itu, lebih-lebih lagi untuk menempuh pilihan raya umum ke-13 kelak.

Katanya, sekiranya nilai-nilai itu gagal ditonjolkan oleh Umno, rakyat mungkin akan terus cenderung menyokong pembangkang yang diharap mampu membawa perubahan yang dimahukan.     

“Mengikut trend sekarang, rakyat tidak lagi memilih parti, tetapi mereka lebih melihat keperibadian pemimpin... yang berjiwa rakyat, telus, bersih, ikhlas akan dipilih rakyat.

“Setengah rakyat percaya nilai-nilai itu banyak ada pada pembangkang walaupun secara idealismenya sahaja, tetapi jika Umno tidak mengambil berat soal itu, masih memilih pemimpin yang tercalar peribadinya, rasuah, atau mempunyai kepentingan peribadi melebihi parti, itu yang menyebabkan orang tidak percaya pada Umno,” katanya.

Justeru, menurut Dr Ma’rof, Umno tidak boleh leka terhadap faktor-faktor seperti itu dalam memastikan Umno akan terus mara dan diterima oleh rakyat melampaui usia 66 tahun parti itu.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi