Bahasa

PRU13 adalah peralihan undi bandar, bukan Cina, kata penganalisis

Pakatan mendapat sokongan kelas menengah, terutamanya di kawasan bandar, kata Shamsul. Pakatan mendapat sokongan kelas menengah, terutamanya di kawasan bandar, kata Shamsul. KUALA LUMPUR, 7 Mei —  Keputusan Pilihan Raya 2013 bukanlah semudah “tsunami Cina” seperti didakwa oleh Datuk Seri Najib Razak akan tetapi peralihan besar pengundi bandar dan kelas menengah yang menyaksikan jurang antara bandar-luar bandar Malaysia semakin luas, kata penganalisis.

Dalam bacaan awal mengenai trend pengundian, penganalisis menyatakan walaupun terdapat peningkatan dalam sokongan kaum Cina terhadap Pakatan Rakyat (PR), tsunami politik juga telah melanda “sebahagian besar daripada Melayu”, ramai di antara mereka adalah pengundi kelas menengah dan kelas atas.

“Mereka mendapat sokongan kelas menengah, terutamanya di kawasan bandar,” kata penganalisis politik Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada PR.

“Jadi, majoriti DAP meningkat kerana rasa tidak puas hati pengundi muda Melayu.. kesimpulannya, untuk melabel polarisasi kaum adalah terlalu mudah. Dua lagi faktor beroperasi secara serentak dengan kaum: kelas (kaya-miskin, kelas menengah) dan spatial (bandar dan luar bandar),” tambah pengasas dan pengarah Institut Kajian Etnik (KITA).

Walaupun Barisan Nasional (BN) yang diketuai Najib berjaya mempertahankan kuasa persekutuan dalam pilihan raya paling sengit negara, gabungan tersebut kehilangan bandar-bandar besar dari George Town ke Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban, Melaka dan bandar besar di Johor.

BN gagal untuk menang di Selangor dan Pulau Pinang – dua negeri perindustrian di Malaysia – walaupun berjaya merampas kembali Kedah, negeri pedalaman dan jelapang padi itu.

DAP menghancurkan MCA dalam Pilihan Raya 2013 dengan penasihatnya Lim Kit Siang mengalahkan Pengerusi BN Johor Datuk Abdul Ghani Othman dengan 14,762 undi di kerusi Parlimen Gelang Patah, selain merampas Kulai, Kluang dan Bakri di Johor.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengatakan parti komponen BN itu tidak akan mengambil apa-apa jawatan kerajaan selepas menang hanya tujuh kerusi Parlimen, kurang separuh daripada 15 kerusi Parlimen dimenangi dalam Pilihan Raya 2008.

Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak mengatakan awal pagi Isnin kerajaan baru BN akan memulakan perdamaian kebangsaan, sebagai usaha-usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia, selepas apa yang beliau gambarkan senagai “tsunami Cina” dalam pilihan raya umum ke 13 – menyaksikan BN menang dengan majoriti lebih kecil berbanding Pilihan Raya 2008.

Penganalisis politik Dr Lim Teck Ghee walau bagaimanapun, menyatakan PR menang lebih separuh daripada undi popular, menunjukkan gabungan itu mendapat sokongan “sebahagian besar daripada Melayu dan pengundi bukan Cina lain”.

“Keputusan di Selangor, yang mempunyai peratusan besar populasi bandar, termasuk di negeri pantai barat lain, dengan jelas menunjukkan ini adalah trend kelas menengah bandar,” kata Lim kepada The Malaysian Insider.

“Sebahagian besar Melayu termasuk dalam kelas menengah ini – mungkin sebanyak bukan Melayu,” menurut pemerhatiannya. Pengarah Center for Policy Initiative (CPI) menambah, undi menentang BN sebahagian besar disebabkan segmen pengundi ini lebih berpengetahuan dan kurang terpengaruh dengan media arus perdana dan media cetak mesra BN.

Beliau mengatakan, pengundi kelas menengah secara umumnya lebih bimbang tentang rasuah, pentadbiran baik dan isu kos kehidupan dan kurang terpengaruh dengan ketakutan kepada pembangkang dan sentimen kaum dan agama yang dimainkan BN.

Wong Chin Huat pula mengatakan, pengundi muda yang mahukan perubahan menyokong PR - melangkaui batas kaum.

“Pakatan mengatakan mari cuba sesuatu yang baru – anda boleh beralih dari kategori kaum. Jadi anda bercakap mengenai persoalan nilai,” kata Wong kepada The Malaysian Insider.

“Pengundi muda yang lebih yakin dan mahukan perubahan akan bersama Pakatan,” tambah felo Institut Pulau Pinang itu.

Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin mengatakan gabungan 13 parti itu bukan sahaja mendapat kurang kerusi daripada 222 kerusi Dewan Rakyat dan 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya 2013 berbanding 2008, akan tetapi turut kehilangan undi popular buat pertama kali semenjak 1969.

“Adakah tidak mungkin bahawa ini bukan tsunami Cina atau cauvinisme kaum, tetapi tsunami Malaysia yang berpaksikan aspirasi dan realiti baru, khasnya di kalangan pengundi muda?” kata bekas ketua pengarang kumpulan News Strait Times Press semasa era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tulisan di blognya yang bertajuk, “Keputusan PRU13-Tsunami Cina atau Tsunami Malaysia?” semalam.

Terdapat hampir 2.5 juta pengundi kali pertama daripada 13.3 juta pengundi layak mengundi dalam Pilihan Raya 2013 yang menyaksikan peratusan keluar mengundi sebanyak 84.84 peratus, paling tinggi dalam sejarah Malaysia.

BN yang berkempen untuk menjaga keselamatan dan keamanan, kalah tujuh lagi kerusi Parlimen dan 71 kerusi DUN kepada PR dalam pilihan raya pada Ahad. BN dan PR menang 133 dan 89 kerusi Parlimen, termasuk 275 dan 230 kerusi DUN dalam Pilihan Raya 2013.

Bagi kerusi Parlimen, BN mendapat 5,237,699 undi berbanding parti Pakatan Rakyat yang mendapat 5,623,984 undi. Gabungan tiga parti PKR, PAS dan DAP juga mendapat lebih banyak undi di DUN, mendapat 4,879,699 berbanding 4,513,977 undi diterima oleh gabungan 13 parti itu.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.