Bahasa

PRU13: PKR senarai pendek calon sebelum 20 Mac

Azmin: Persefahaman ialah setiap parti akan mengekalkan kerusi yang dimenangi tetapi kami boleh berunding berhubung kerusi-kerusi yang kami kalah dalam 2008.Azmin: Persefahaman ialah setiap parti akan mengekalkan kerusi yang dimenangi tetapi kami boleh berunding berhubung kerusi-kerusi yang kami kalah dalam 2008.KUALA LUMPUR, 16 Feb — Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menyenarai pendek kesemua calonnya yang berpotensi menjelang 20 Mac ini untuk memulakan perundingan dengan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat (PR) memandangkan pilihan raya umum ke-13 kemungkinan diadakan sekitar April ini.

Timbalan presidennya Azmin Ali berkata, kepimpinan negeri dikehendaki menghimpunkan nama-nama yang disyorkan untuk penelitian biro politik sebelum mengadakan perbincangan dengan PAS dan DAP.

“Persefahaman ialah setiap parti akan mengekalkan kerusi yang dimenangi tetapi kami boleh berunding berhubung kerusi-kerusi yang kami kalah dalam 2008,” kata Ahli Parlimen Gombak ini dalam satu pertemuan dengan pemberita awal minggu ini.

Azmin yang dilantik semula sebagai pengarah pilihan raya baru-baru ini susulan pemilihan parti berkata, ada kemungkinan pertukaran kerusi-kerusi ditandingi memandangkan PAS juga mahu memberi tumpuan di bahagian-bahagian yang mempunyai pengundi campuran.

Kerusi-kerusi terbabit selama ini ditandingi PKR, yang dilihat sebagai parti kawasan bandar.

PKR juga berhadapan dengan masalah beberapa wakil rakyatnya, termasuk di kedua-dua peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, keluar parti sejak awal 2009 dan terbaru bulan lalu.

Dengan arah aliran pengundi Melayu mengalami kemerosotan, PAS akan memastikan ia mempertahankan bilangan wakil rakyatnya dengan bergerak ke kawasan-kawasan yang kurang pengundi Melayu.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang di Johor bulan lalu menyaksikan 80 peratus pengundi Melayu memihak kepada Umno.

Begitu juga kerusi di Hulu Selangor, Galas dan Manek Urai di mana 10 peratus pengundi orang Melayu bergerak kepada pembangkang semasa diadakan pilihan raya kecil tahun lalu dan 2009.

Bagimanapun Azmin berkata, PKR juga akan melihat pada kerusi-kerusi yang PAS dan DAP tewas meskipun kedua-dua parti tertua itu mempunyai sokongan akar umbi di bahagian yang majoriti pengundinya ialah Melayu dan Cina.

“Kami adalah parti yang muda, cuma (berusia) sekitar 10 tahun. Tidak adil jika PAS mengatakan mempunyai mereka ada lebih banyak cawangan dan ahli di sesuatu kawasan.

“Kita perlu melihat pada isu-isu yang penting dan kadangkala ia memihak kepada apa yang PKR perjuangkan,” kata beliau yang juga ketua PKR Selangor.

PKR dijangka berhadapan dengan persaingan tiga penjuru memandangkan Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) dan parti Kita pimpinan Datuk Zaid Ibrahim juga akan memfokus kerusi-kerusi ditandingi parti itu.

Semalam, pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin mengesyorkan satu perikatan yang lebih kolektif membabitkan Pakatan Rakyat dan gerakan prorakyat bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

MCLM mahu menawarkan senarai 30 calon untuk pertimbangan Pakatan Rakyat khususnya PKR.

Spekulasi menyebut bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan memanggil pilihan raya umum pada suku kedua atau keempat tahun ini meskipun mandat Barisan Nasional (BN) hanya akan berakhir 2013.

Bagaimanapun sumber-sumber BN memberitahu The Malaysian Insider, pilihan raya negeri Sarawak, yang mandat kerajaan negeri akan berakhir Julai ini, akan diadakan April ini sebelum pilihan raya umum ke-13.

Kali terakhir pilihan raya negeri Sarawak diadakan adalah pada 2006.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.