Bahasa

Pulau Pinang gubal undang-undang pilihan raya PBT

Oleh Mohd Farhan Darwis
May 05, 2012

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Kerajaan negeri Pulau Pinang dijangka akan membentangkan Rang Undang-undang Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun), Khamis ini.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, langkah menggubal rang undang-undang itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan Pakatan Rakyat (PR) untuk melaksanakan pilihan raya bagi kerajaan tempatan.

“Kerajaan negeri percaya enakmen ini akan membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya bagi memilih ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP),” katanya pada sidang media di Komtar semalam.

Dipetik Sinar Harian Online, Adun Padang Kota itu menjelaskan, undang-undang yang digubal itu juga tidak bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimanapun,  kerajaan negeri akan membuat permohonan kepada mahkamah tinggi untuk menyemak semula rang undang-undang berkenaan sama ada ianya selari dengan undang-undang negara.

“Sekiranya, mahkamah memutuskan rang undang-undang itu sah, kami akan  meminta mahkamah mewajibkan SPR mengadakan pilihan raya tempatan,” katanya lagi.

Tambah Kon Yeow, kerajaan negeri Pulau Pinang  mahukan pilihan raya tempatan itu diadakan dalam proses pemilihan ahli majlis agar ianya sejajar dengan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.

Jelasnya lagi, tanpa pilihan raya dalam kerajaan tempatan, PBT tidak dapat melaksanakan tugas dengan sempurna karana rakyat tidak diberi peluang memilih pemimpin mereka.

“Ia bertujuan memenuhi jaminan dan perjuangan bagi memulihkan demokrasi untuk kerajaan tempatan selain mengembalikan kuasa kepada rakyat.

“Tanpa pilihan raya tempatan sebenarnya tidak dapat memperbaiki khidmat kepada rakyat kerana mereka tidak diberi peluang memilih pemimpin yang sesuai,” katanya.

Sejak mengambil alih kerajaan pada Mac 2008, PR melakukan pelbagai usaha untuk mengembalikan hak rakyat melalui pilihan raya peringkat PBT.

Pada 11 Ogos 2009, Pulau Pinang telah meluluskan usul dalam Dun menuntut Kerajaan Persekutuan menghidupkan kembali pilihan raya kerajaan tempatan.

Bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri mendapatkan khidmat panel peguam Tommy Thomas, Yeo Yang Poh dan Malik Imtiaz untuk memberi nasihat berkenaan hak dan kuasa kerajaan negeri.

Pada 13 Julai 2009, kerajaan Pulau Pinang telah menghantar surat kepada Majlis Kebangsaan Pihak Berkuasa Tempatan di bawah Artikel 95A Perlembagaan Persekutuan untuk membincangkan isu pilihan raya tempatan tetapi cadangan itu ditolak.

Berdasarkan nasihat panel peguam, Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah menulis surat kepada SPR pada 4 Mac 2010 dan meminta mereka mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan berdasarkan Perkara 113(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut undang-undang Persekutuan atau negeri boleh memberi kuasa kepada SPR untuk menjalankan pilihan raya selain daripada yang disebut dalam Fasal (1).

Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung DAP itu, SPR telah menolak permohonan mereka pada 23 Mac 2010.

“Kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan kecuali memulakan prosiding undang-undang untuk menuntut SPR mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan melalui peruntukan undang-undang,” katanya lagi.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi