Bahasa

Pulau Pinang pohon kelonggaran Singapura untuk 21 rakyat Malaysia yang ditahan

May 30, 2013

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Kerajaan negeri Pulau Pinang memohon kelonggaran kepada pemerintah Singapura untuk 21 rakyat Malaysia yang terlibat dalam perhimpunan membantah keputusan pilihan raya 5 Mei di republik itu kata Ketua Menteri Lim Guan Eng (gambar).

Menurut Lim, rayuannya itu tidak sepatutnya dilihat sebagai campur tangan asing dalam hal ehwal Singapura akan tetapi seharusnya dilihat dari aspek hak asasi manusia.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengiktiraf dan menghormati hak kerajaan Singapura untuk menentukan dan mengambil tindakan berasaskan undang-undang dan hal ehwalnya sendiri; namun saya percaya bahawa kerajaan Singapura tidak akan menolak usaha untuk memohon kelonggaran,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

“Usaha demikian adalah berdasarkan asas kemanusiaan dan tidak sepatutnya dilihat sebagai campur tangan asing dalam hal ehwal Singapura,” tambah beliau lagi.

Menurut Lim, beliau bersedia berkomunikasi dengan republik itu bagi memohon kelonggaran untuk rakyat Malaysia, terutamanya warga Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap agar pihak Singapura dapat melihat kes ini daripada sudut hak asasi manusia dan bukan sudut jenayah memandangkan mereka yang terlibat adalah dari kalangan mereka yang patuh kepada undang-undang, tidak mempunyai rekod jenayah mahupun rekod campurtangan dalam hal ehwal dalaman Singapura,” katanya.

Pada 11 Mei, polis Singapura menahan 21 rakyat Malaysia selepas menunjuk perasaan di Merlion Park di republik itu.

Ini dilakukan walaupun polis sebelum ini memberi nasihat perhimpunan seumpama itu melanggari undang-undang Singapura.

“Pihak polis ingin menegaskan, sementara orang luar dibenar bekerja dan tinggal di sini, mereka perlu mematuhi undang-undang kita,” kata jurucakap polis Singapura, dipetik dari laporan Straits Times Singapura (ST).

“Mereka tidak boleh membawa masuk isu dalaman dari negara mereka ke Singapura dan melakukan aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam, kerana mungkin terdapat kumpulan dengan pandangan yang berbeza.

“Mereka yang melanggar undang-undang akan ditangani secara serius,” tambah beliau lagi.

Penahanan iu dilakukan selepas amaran dikeluarkan terhadap sembilan rakyat Malaysia kerana ‘mengambil bahagian secara aktif dalam perhimpunan haram’ di Merlion Park kira-kira 4.50 petang pada 11 Mei, di mana kira-kira 100 orang berhimpun untuk membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 Malaysia.

Dalam Pilihan Raya 2013, BN menang walaupun kalah undi popular sebanyak 47 peratus berbanding 51 peratus undi untuk Pakatan Rakyat (PR).

BN mendapat 133 kerusi Parlimen berbanding PR 89.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi