Bahasa

Pulau Pinang sokong Kedah dapatkan dana persekutuan untuk pelihara sungai

Pulau Pinang menyokong usaha kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan dana dari kerajaan persekutuan untuk membantu memulihara lembangan Sungai Muda dan kawasan tadahan air untuk faedah ketiga-tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, kata Lim Guan Eng.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu, kerajaan persekutuan sudah pasti mempunyai sumber kewangan untuk membayar Kedah, terutamanya berikutan pengambilalihan aset air oleh kerajaan Persekutuan melalui Perbadanan Aset Air Bhd (PAAB).

“PAAB telah sepakat untuk memastikan bekalan air mentah yang mencukupi apabila Pulau Pinang menandatangani perjanjian pemindahan air dengan PAAB pada 2 Jun 2011, yang disaksikan oleh Perdana Menteri sendiri,” kata Lim dalam satu kenyataan pagi ini. “Kita perlu jelas bahawa Sungai Muda bukan sahaja memberi manfaat kepada Pulau Pinang. Kedah juga menggunakan air dari sungai yang sama untuk bekalan air mereka dan keperluan pengairan. Sungai Muda juga merupakan sumber air penting bagi kawasan selatan Perlis,” tambah beliau lagi.

Menurut Lim, pemeliharaan kawasan tadahan Ulu Muda di Kedah adalah isu persekutuan kerana melibatkan bekalan air tiga negeri serta pemuliharaan kawasan hutan semula jadi untuk faedah semua rakyat Malaysia.

“Seperti yang dinyatakan oleh laman web Friends of Ulu Muda (FoUM) (saveulumuda.com), kawasan tadahan di Ulu Muda, yang meliputi kawasan seluas 160,000 hektar, kini diancam pembalakan sejak tahun 2002, serta penukaran hutan, pengeluaran sumber hutan haram dan tanpa kawalan serta pembangunan pelancongan yang tidak mapan,” katanya.

Jelas Lim, Kedah perlu bertindak dengan cepat dan mendapatkan dana Persekutuan untuk memelihara sumber Sungai Muda.

“Pembiayaan persekutuan adalah wajar kerana kawasan hutan Ulu Muda adalah tadahan air mentah yang kritikal untuk ketiga-tiga negeri, sumber pengairan penting bagi Kedah sebagai 'Jelapang Padi Malaysia', dan kawasan biologi hijau dan pelbagai yang perlu diwartakan sebagai Hutan Taman Negara atau Negeri untuk kebaikan semua pencinta alam semulajadi Malaysia bagi masa kini dan pada masa hadapan.”

Bulan lalu kerajaan Kedah berkata mereka berharap Pulau Pinang tidak menolak permintaannya untuk mengenakan caj bekalan air mentah dari Sungai Muda ke negeri itu sebelum perbincangan peringkat pegawai diadakan.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir berkata kerajaan negeri mempunyai hujah berasas untuk mengenakan caj walaupun Ketua Menteri Pulau Pinang Lim awal-awal lagi mengemukakan alasan kerana enggan membayar. – 7 Julai, 2013.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.