Bahasa

Puncak Semangat gugur bidaan terhadap Jaring, teruskan dengan pelancaran 4G

KUALA LUMPUR, 4 Sept — Firma telekomunikasi Puncak Semangat Sdn Bhd telah membatalkan rancangan untuk mendapatkan Jaring Communications Sdn Bhd tetapi telah mengambil eksekutif atasan syarikat jalur lebar kerajaan termasuk ketua eksekutif Nik Abdul Aziz Nik Yaacob menjelang pelancaran perkhidmatan 4G atau Evolusi Jangka Panjang (LTE) pada tahun hadapan, menurut satu sumber.

The Malaysian Insider difahamkan Puncak Semangat, yang dikaitkan dengan hartawan logistik, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, melepaskan bidaan selepas ketekunan wajar pembekal perkhidmatan internet pertama negara itu. Kementerian Kewangan dikatakan telah meletakkan harga RM50 juta bagi syarikat itu, yang bergantung terutamanya kepada kontrak kerajaan.

"Puncak Semangat tidak lagi berminat dengan Jaring. Malah, mereka telah memancing ketua pegawai eksekutif Jaring, Nik Abdul Aziz Nik Yaacob, untuk menyertai mereka, " kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Sumber dalam industri telekomunikasi mengesahkan Nik Abdul Aziz meninggalkan Jaring berkuatkuasa Oktober, mengatakan bahawa beberapa eksekutif Jaring lain dijangka untuk menyertai penghijrahan. Nik Abdul Aziz menyertai Jaring pada Mac 2011, menggantikan Dr Mohamed Awang Lah yang telah lama berkhidmat sebagai ketua eksekutif.

Lelaki berumur 43 tahun itu adalah bekas pengarah kanan yang bertanggungjawab kepada Sistem Maklumat Strategik, dan ahli exco Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2008-2010.

Sebelum itu, beliau mengetuai penggubalan utama IT dan projek pembangunan sebagai naib presiden kanan Khazanah Nasional Bhd dari tahun 2005 hingga 2008.

"Puncak Semangat memutuskan tidak berbaloi untuk mandapatkan Jaring tetapi mengambil beberapa eksekutif atasan yang boleh bekerja dengan baik dalam projek LTE," kata sumber dalam industri telekom.

Puncak Semangat dijangka memulakan operasi LTE/4G pada bulan November tetapi akan melancarkan perkhidmatan tersebut menjelang pertengahan tahun depan.

Syarikat itu menerima 30MHz spektrum daripada 2.6Mhz di bawah peruntukan kerajaan bagi perkhidmatan internet generasi akan datang, sebahagian terbesar antara sembilan syarikat yang dilesenkan bagi LTE/4G. Syarikat-syarikat lain hanya menerima 20MHz setiap satu.

Ia adalah diantara empat syarikat yang berminat untuk mengambil alih Jaring. Tiga tawaran lain dijangka telah diserahkan oleh CMC Engineering Sdn Bhd, Asian Broadcasting Network Sdn Bhd dan Optinet Technology Sdn Bhd.

Cakap-cakap tentang penjualan Jaring telah bermula pada tahun 2001 apabila Telekom Malaysia Bhd (TM) mula-mula menyatakan minat untuk membeli syarikat jalur lebar tersebut.

Tetapi perjanjian tersebut menemui kegagalan walaupun cadangan belanjawan tahun kemudian menunjukkan bahawa Jaring akan bergabung dengan TM tetapi itu juga tidak menjadi kenyataan.

Beberapa tahun kemudian, Time dotCom Bhd telah berusaha untuk membeli Jaring akan tetapi harga tawaran yang rendah tidak menarik minat Putrajaya.

Kementerian Kewangan memanggil tender tahun 2007/2008 dengan menggunakan firma penasihat untuk mengendalikan tawaran.

Time dotCom sekali lagi menjadi salah satu pembida, bersama-sama dengan empat pihak lain, termasuk Packet One Networks Sdn Bhd Tetapi perjanjian tidak menjadi.

The Edge melaporkan bulan lalu bahawa Puncak Semangat telah membuat rundingan dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk membeli kepentingan 49 peratus dalam pembekal borong perkhidmatan jalur lebar Fibrecomm Network (M) Sdn Bhd.

"Puncak Semangat dikatakan telah pun membuat tawaran kepada Tenaga untuk membeli kepentingan, "kata seorang eksekutif industri telekom. Walau bagaimanapun, harga yang tepat kepentingan tersebut tidak diketahui pada ketika ini, kata akhbar perniagaan mingguan tersebut.

Baki 51 peratus dalam Fibrecomm dimiliki oleh Telekom Malaysia Bhd (TM), pembekal perkhidmatan jalur lebar yang dominan dalam negara.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.