Bahasa

Putrajaya gugur Akta Hubungan Kaum, cukup dengan akta sedia ada, kata Nazri

KUALA LUMPUR, 11 April — Putrajaya telah menggugurkan cadangannya untuk mewujudkan Akta Hubungan Kaum, yang mana Datuk Seri Nazri Aziz menjelaskan, akta sedia ada memadai untuk membendung kegiatan ekstremis perkauman.

Menteri berkaitan undang-undang itu semalam menjelaskan akta sedia ada seperti Akta Hasutan atau Kanun Acara Jenayah (CPC) sudah cukup untuk memberikan perlindungan termasuk keadaan serangan daripada individu kepada individu lain yang mungkin memberikan kesan terhadap perhubungan kaum.

“Saya rasa kita mampu untuk mengurus perhubungan kaum kita sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Parlimen. “Lagipun, setiap perkara yang berkaitan akan melibatkan perkataan berunsur hasutan yang berada di dawah Akta Hasutan.

“Untuk kesalahan yang melibatkan serangan, ia telah meliputi CPC, maka kita tidak memerlukan undang-undang khusus hubungan kaum.

“Setiap perkara yang melibatkan serangan yang mungkin melibatkan kaum sudah diberi perhatian di bawah CPC.”

Jelas Nazri (gambar), pada Disember lalu, kerajaan akan membentangkan Akta Hubungan Kaum ketika sesi persidangan Parlimen kali ini untuk menggalakkan interaksi antara kaum dan memupuk nilai saling menghormati.

Nazri memberitahu Sin Chew Daily di dalam temubual berkenaan undang-undang tersebut, akan digunakan untuk mengelakkan isu perkauman, yang merupakan pengganti salah satu kepada dua undang-undang yang dimansuhkan termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kerajaan semalam telah membentangkan Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 sebagai pengganti ISA, menggugurkan penahanan tanpa perbicaraan dan memperuntukkan penahanan maksimum 28 hari untuk siasatan.

Di bawah ISA, mana-mana individu yang dipercayai melanggar kesalahan akan ditahan untuk siasatan sehingga 60 hari sebelum dicadangkan tambahan dua tahun tahanan tanpa perbicaraan berdasarkan kuasa menteri dalam negeri.

Tambah Nazri, akta baru yang dibentangkan itu adalah sebuah perundangan tunggal menggantikan ISA, dan verkata tidak menyedari kewujudan “benci undang-undang” yang disebut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein sedang dalam perancangan.

“Saya masih lagi belum melihatnya,” kata Nazri.

Bercakap berkenaan akta baru itu, veteran politik itu berkata sudah tiba masanya senario politik dan sosial berubah dengan pesat berbeza sewaktu era 1960 apabila ISA diperkenalkan.

Menurut beliau masyarakat sudah matang dan insiden yang mencetuskan ketegangan kaum tidak lagi wujud seperti zaman dahulu.

“Rakyat Malaysia lebih bertolak ansur, selain itu ia bukanlah satu soalan bersikap tolak ansur, menerima yang kita mempunyai perbezaan bukan bermakna kita berpecah.

“Ia seharusnya membuatkan kita lebih bersatu kerana kita menerima perbezaan masing-masing, tapi kita bersatu atas faktor ini, ini sebabnya kenapa kerajaan memansuhkan ISA,” katanya.

Nazri bagaimanapun menegaskan keperluan akta baru yang khusus kepada ancaman terhadap keselamatan negara ataupun ttindakan pengganas, dan menambah peruntukan tersebut perlu dilaksanakan atas faktor keselamatan.

Menurutnya, mewujudkan akta baru adalah mudah berbanding pindaan akta pencegahan sedia ada bagi mengkhususkan ancaman sedemikian.

“Adalah lebih mudah mewujudkan akta baru ... Dan buat masa ini kita masih lagi tidak mempunyai akta khusus untuk pengganas,” katanya.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.