Bahasa

Putrajaya komited kepada penyelesaian 10 perkara, tak campur urusan negeri, kata menteri

Putrajaya hari ini menegaskan untuk terus komited kepada penyelesaian 10 perkara yang telah ditandatangani bersama Sabah dan Sarawak pada April 2011 berhubung penggunaan kalimah Allah.

Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri berkata hal ehwal agama setiap negeri terletak di bawah urusan kerajaan negeri dan bukannya Putrajaya.

Beliau berkata Putrajaya tidak pernah berpaling daripada perjanjian berkenaan sejak 2011 iaitu sebelum pilihan raya negeri Sarawak.

Penyelesaian 10 perkara yang diumumkan kerajaan pada April 2011 menyelesaikan penggunaan kalimah Allah dalam Alkitab.

Di bawah perjanjian itu yang disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala menetapkan Bible semua bahasa boleh diimport ke dalam negara termasuk berbahasa Melayu dan Indonesia serta pencetakan juga boleh dibuat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Isu agama tidak terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan kami tidak boleh ikut campur bagaimana setiap negeri mengurus hal ehwal agama,” katanya.

Bercakap kepada wartawan selepas merasmikan tahun perundangan Sabah dan Sarawak, Nancy berkata Putrajaya tidak boleh memaksa kerajaan negeri menghormati penyelesaian 10 perkara merujuk keadaan di Selangor setelah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) awal bulan ini merampas 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban di Pertubuhan Bible Malaysia (BSM).

“Apa jua penguatkuasaan pihak berkuasa agama di Selangor, bagaimana mereka mengamalkan agama, itu hak mereka,” katanya.

Ketegangan bermula hujung tahun lalu apabila Mahkamah Rayuan memutuskan mingguan Katolik, Herald tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

Pengarang Herald, Father Lawrence Andrew pula membangkitkan kemarahan sesetengah pihak apabila menegaskan gereja Katolik akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mereka di Selangor.

Puak konservatif Islam mula menjadikan Lawrence sebagai sasaran dan beberapa laporan polis dibuat terhadap paderi itu.

Polis membuka kertas siasatan dan menyiasat beliau di bawah tuduhan hasutan yang kemudiannya akan didakwa.

Dalam kemelut berkenaan, Putrajaya kekal bisu berhubung isu berkenaan dan penganut Kristian mahu penjelasan dari Idris. – 17 Januari, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.