Bahasa

Putrajaya tak jual Sarawak Empangan Bakun, tapi hanya tenaga

Oleh Jahabar Sadiq
Editor

May 31, 2011

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Pentadbiran Najib telah memutuskan untuk tidak menjual Empangan Bakun kepada Sarawak, sebaliknya akan menandatangani perjanjian membeli tenaga (PPA) dengan kerajaan negeri pada Hari Gawai esok, langkah yang akan memberi Putrajaya opsyen tenaga bagi Semenanjung Malaysia jika kos terus mengalami kenaikan masa-masa akan datang.

The Malaysian Insider difahamkan keputusan itu dicapai selepas pilihan raya negeri Sarawak 16 April lalu apabila Tan Sri Abdul Taib Mahmud (gambar) memperoleh kemenangan tetapi tidak menetapkan tarikh untuk meletakkan jawatan sebagai ketua menteri, yang mengejutkan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) di seberang Laut China Selatan, yang merasakan Bumi Kenyalang itu memerlukan darah yang baru memimpin negeri itu.

“Putrajaya telah memutuskan untuk menyimpan Bakun tetapi menjual tenaga kepada Sarawak terlebih dahulu sebelum memutuskan opsyen-opsyen lain,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Semalam, kerajaan mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus yang akan dikuatkuasakan mulai esok.

Difahamkan kerajaan masih meneliti rancangan asal untuk membawa elektrik menerusi kabel dasar laut dari Empangan Bakun ke Semenanjung tetapi kos-kos semasa dan kehilangan tenaga tidak memungkinkannya buat masa sekarang.

Minggu lalu, Taib mengumumkan bahawa Sarawak Energy Berhad (SEB) akan membeli tenaga pada kadar menarik daripada pemilik Bakun Sarawak Hidro Sdn Bhd, sebuah unit di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Bagaimanapun ketua menteri paling lama berkuasa itu tidak mendedahkan kos dan apabila ditanya sama ada tenaga elektrik dari Bakun akan dijual pada paras enam sen satu kilowat sejam, beliau menjawab: “Anda mahu saya kata sesuatu sebelum majlis (esok)?”

Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, kerajaan negeri mengenakan satu amaun seperti levi air ke Sarawak Hidro setiap tahun.

“Levi bagi air untuk menjana elektrik perlu dicaj tetapi saya tidak pasti berapa banyak. Ia adalah (syarat) lesen sebelum ini.

“Ini salah satu isyarat apabila kita mengeluarkan lesen bagi Bakun,” katanya sambil menambah, levi itu akan berterusan selepas Empangan Bakun mula beroperasi selepas Julai ini.

September lalu, Taib berkata, kerajaan negeri akan meletakkan bidaaan RM6 bilion untuk membeli projek Bakun daripada Putrajaya meskipun keseluruhan kos projek itu melebihi RM7.3 bilion sejak ia bermula pada 1994.

Kini, Sarawak mempunyai kapasiti menjana elektrik pada paras 1,300MW, melepasi permintaan waktu puncak 1,100MW.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi