Bahasa

Rafizi desak menteri besar jawab isu skandal balak Terengganu

PETALING JAYA, 26 Feb — Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli, mendesak Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, menjawab isu skandal penyelewengan dan rasuah dalam pengurusan balak di negeri itu.

Rafizi pada melancharkan National Oversight & Whistleblowers (NOW) centre (Pusat Negara Pemantauan & Pemberi Maklumat) di Sungai Besi, 30 Aug 2012. — Gambar fail Choo Choy MayRafizi pada melancharkan National Oversight & Whistleblowers (NOW) centre (Pusat Negara Pemantauan & Pemberi Maklumat) di Sungai Besi, 30 Aug 2012. — Gambar fail Choo Choy MayBeliau mendedahkan modus operandi wang rasuah bersabit balak di Terengganu, yang melibatkan 12 syarikat pembalakan yang dipaksa memeterai satu perjanjian pembelian saham dengan proksi untuk membeli sebuah syarikat bernilai RM2.

“Satu perjanjian ditandatangani pada 28 Disember 2011, agar syarikat-syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli sebuah syarikat dormant bernama Berkat Seribumi Sdn Bhd yang mempunyai saham berbayar RM2 sahaja,” kata Rafizi menerangkan isu tersebut di ibu pejabat parti hari ini.

Menurut Rafizi, syarikat itu dijual dengan harga yang cukup tinggi dan tidak berpadanan dengan aset dan kedudukan syarikat yang tidak mempunyai sebarang aktiviti perniagaan.

“Wang dari jualan tersebut disyaki disalurkan kembali kepada orang-orang tertentu yang mempunyai pengaruh untuk menentukan hak membalak,” kata Rafizi lagi.

Beliau juga berkata, media milik Umno dan Barisan Nasional (BN) jangan terlalu ghairah mereka-reka cerita penyelewengan balak di negeri-negeri Pakatan Rakyat (PR) seperti Kedah dan Kelantan, sedangkan kes rasuah balak di Terengganu lebih besar dan lengkap beserta dengan bukti.

Turut bersama Rafizi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, yang mula-mula membongkarkan skandal balak di negeri tersebut.

“Apa yang berlaku di Terengganu ialah ‘daylight robbery’, hasil kekayaan negeri Terengganu dikaut oleh kroni-kroni,” kata Dr Syed Azman dalam sidang media tersebut.

“12 syarikat terpaksa membeli syarikat RM2 dengan harga RM2.5 juta. Cuba bayangkan RM2.5 juta didarabkan dengan 12?”

Menurut Rafizi, pada 17 Julai tahun lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengeluarkan surat kelulusan membalak kepada sebuah syarikat bagi kawasan seluas 1,000 ekar di Hutan Simpan Hulu Setiu.

“Keputusan itu diluluskan oleh Mesyuarat Lembaga Mengambil Hasil Hutan yang dipercayai dipengerusikan sendiri Datuk Seri Ahmad Said,” katanya lagi.

Pihaknya juga berjaya menjejaki penama dan syarikat yang terbabit dengan urusniaga pembelian saham, dimana satu perjanjian dikeluarkan kerajaan negeri Terengganu agar syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli Berkat Seribumi.

“Bukti-bukti ini akan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu menjelang pilihan raya umum ke-13, sementara menunggu jawapan rasmi dari beliau dan keseluruhan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional,” kata Rafizi lagi.

Beliau juga berkata, media milik Umno dan Barisan Nasional jangan terlalu ghairah mereka-reka cerita penyelewengan balak di negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti Kedah dan Kelantan, sedangkan kes rasuah balak di Terengganu lebih besar dan lengkap dengan bukti.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.