Bahasa

Rafizi nafi mohon maaf kepada Zahid Hamidi, akaun Facebooknya digodam

Oleh Nomy Nozwir
January 27, 2013

Menurut Rafizi, beliau tetap dengan pendirian sebelum ini bahawa perkara ini akan diteruskan di mahkamah dan tidak akan berganjak dari terus membawa soal salahguna dana Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kenyataan tersebut adalah palsu, berniat jahat dan direncanakan oleh laman-laman blog pro-Umno bertujuan memfitnah saya dan mengelirukan rakyat.

"Apabila mereka tidak dapat berdepan dengan pendedahan-pendedahan yang memalukan pimpinan mereka, laman-laman ini secara tidak beretika menggunakan muslihat untuk menggodam akaun dan laman-laman berkaitan Pakatan Rakyat, termasuklah laman-laman pimpinan Pakatan Rakyat dan laman Facebook," kata Rafizi (gambar) dalam kenyataan media yang dihantar ke The Malaysian Insider petang ini.

Menurut Rafizi, laman Facebooknya yang kedua dalam tempoh dua hari yang digodam, selepas laman Facebook Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali

Rafizi berkata lagi, ini adalah rentetan kepada siri godaman terhadap laman Malaysiakini setiap kali ada perkembangan politik penting negara yang merugikan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya muslihat dan tipu helah yang digunakan oleh cybertrooper Umno ini kerana ia tidak beretika dan memfitnah. Sikap pimpinan Umno yang berdiam diri menunjukkan mereka juga sama-sama mendokong muslihat dan tipu helah kotor ini.

"Saya sekali lagi menegaskan bahawa saman Dato' Seri Zahid Hamidi akan saya jawab di mahkamah. Isu salahguna dan penyelewengan dana LTAT dan kebajikan anggota angkatan tentera yang diabaikan tidak boleh dipadamkan dengan muslihat jahat dan tipu helah cyber seperti ini," katanya lagi.

Semalam, Rafizi berkata beliau tidak akan tarik balik kenyataannya berkenaan Kementerian Pertahanan menggunakan dana awam untuk membeli saham Astacanggih, milik peniaga permaidani Deepak Jaikishan berharga RM30 juta dan membeli tanah Raja Roopiah bernilai RM160 juta di Bukit Raja.

Beliau bila dihubungi The Malaysian Insider berkata, rakyat Malaysia secara umumnya sudah mengetahui kes ini dan beliau sedia ke mahkamah menghadapi saman dari Ahmad Zahid.

Semalam, Ahmad Zahid berkata beliau akan menyaman Rafizi berkenaan tulisannya di dalam blognya rafiziramli.com, yang didakwa berunsur fitnah, palsu dan tidak benar.

Saman itu dikemukakan berhubung artikel yang mengaitkan beliau dengan seorang ahli perniagaan karpet, Deepak Jaikishan.

Ahmad Zahid selaku plaintif berkata, perkataan tersebut antaranya membawa maksud beliau tidak kompeten, salah guna kuasa sebagai Menteri Pertahanan dan tidak jujur.

Menteri Pertahanan itu antaranya menuntut ganti rugi am dan khas bagi fitnah bertulis, ganti rugi teladan dan melampau serta menarik balik sepenuhnya kata-kata fitnah itu.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi