Rafizi persoalkan kontrak LRT dianugerahkan kepada George Kent
PETALING JAYA, 10 Julai — Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli, hari ini mendedahkan keputusan kerajaan Malaysia melalui kementerian kewangan untuk menganugerahkan kontrak sambungan LRT Ampang bernilai RM1.18 bilion kepada George Kent.
Rafizi pada sidang akhbar di iringi oleh naib presiden PKR Izzah Anwar dan Tony Pua dari DAP. — Foto oleh Amin IskandarRafizi turut mengedarkan dokumen minit mesyuarat kelima Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) pada 21 Jun, yang dipengerusikan oleh perdana menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak — juga merupakan menteri kewangan.
Dalam sidang akhbar hari ini Rafizi Ramli menjelaskan pemberian kontrak itu pelik kerana George Kent tidak berpengalaman dan mengenakan harga yang tinggi.
“Harga George Kent adalah RM1.18 bilion berbanding harga Balfour Beatty sebanyak RM1.01 bilion.
“Bagaimana kontrak boleh diberi kepada pembida yang meletak harga RM167 juta lebih mahal dan gagal penilaian teknikal dan kewangan?” soal Rafizi.
“Apakah jumlah RM167 juta ini boleh dikaitkan dengan apa-apa pembayaran berbentuk komisen kepada mana-mana ahli politik Umno/BN, seperti mana wujudnya pembayaran komisen kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib semasa pembelian kapal selam Scorpene dahulu?” tanya Rafizi.
Menurut Rafizi lagi, kepakaran George Kent adalah mengilang meter air dan syarikat itu sebelum ini ditolak kerana ia tidak memenuhi keperluan minimum teknikal bagi kerja tersebut.
Pengarah strategi PKR itu turut mendakwa George Kent merupakan rakan golf Najib.
Apabila ditanya tentang bukti dakwaannya itu, Rafizi berkata, “The Star pernah menyiarkan sebuah artikel yang membuktikan hubungan baik PM dengan George Kent pada tahun 2008.
“Sila tanya rakan-rakan dari The Star mengenai dakwaan saya ini.”
Najib, sebelum ini apabila diminta menjelaskan dakwaan tentang projek pembesaran LRT Ampang tersebut, menyangkal dengan berkata semuanya dilakukan dengan mengikut aturan.





