Rafizi mengaku tidak bersalah, dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000
Rafizi (kanan) menunjukkan tangannya yang digari.
SHAH ALAM, 1 Ogos — Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan melanggar Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Rafizi diwakli oleh peguamnya N. Surendran dan Puspawati Rosman, dilepaskan oleh Hakim Aslam Zainuddin dengan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad merupakan penjamin bagi Rafizi.
Sementara itu Johari Mohamad didakwa bersubahat dengan Rafizi dan melanggar Seksyen 112(1)(c) Akta yang sama.
Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) seperti Dr. Dzulkefly Ahmad, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Nurul Izzah Anwar telah berada di mahkamah sejak pagi lagi untuk memberikan sokongan kepada Rafizi dan Johari.
Timbalan Pendakwa Raya, Nahra Dollah menuntut agar wang jaminan terhadap Rafizi dan Johari dikenakan sebanyak RM100,000 sebelum peguam pembela, N. Surendren merayu agar mahkamah mengurangkannya.
Nahra Dollah juga meminta agar mahkamah menahan passport antarabangsa milik Rafizi kerana ini adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Peguam pembela berhujah bahawa Rafizi adalah orang yang dikenali ramai dan tidak mungkin akan melarikan diri.
Ruang mahkamah dipenuhi penyokong PR yang rata-ratanya marah dengan pendakwaan terhadap Rafizi.
Puspawati Rosman, peguam bersama Rafizi dan Johari ketika ditemui di luar mahakamh berkata penahanan terhadap Rafizi adalah sesuatu yang tidak perlu dilakukan oleh kerana anak guamnya sentiasa memberikan kerjasama apabila dipanggil oleh pihak berkuasa.
“Dia sebagai ‘whistleblower’ seharusnya dilindungi dan bukan didakwa.
“Kita harus berterima kasih kepada Rafizi kerana berusaha gigih untuk menyelamatkan wang rakyat,” katanya.
Mahkamah menetapkan perbicaraan bagi kes ini bermula 10 September depan.





