Bahasa

Rafizi tuntut penjelasan KPT arah PTPTN sekat pinjaman pelajar Unisel

Oleh Mohd Farhan Darwis
June 06, 2012

PETALING JAYA, 6 Jun — PKR hari ini menuntut penjelasan Datuk Seri Khalid Nordin sama ada menteri itu terlibat mengarahkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menyekat pinjaman pelajar di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri Selangor.

Pengarah Strategi PKR itu itu mendakwa, sekiranya dakwaan beliau itu benar, tindakan itu adalah mainan politik dendam Umno-Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

“Sekiranya benar menteri pengajian tinggi itu mengarahkan PTPTN menyekat pinjaman pelajar Unisel, ia adalah mainan politik dendam Umno-BN.

Jelas Rafizi (gambar), beliau juga terkejut dengan tindakan Khaled yang mengeluarkan kenyataan di laman Twitter miliknya yang menyebut, “Unisel boleh hapuskan yuran, dengan sendirinya memenuhi matlamat pendidikan percuma dan penutupan PTPTN yang dilaungkan Anwar dan Pakatan.”

“Gelagat beliau ini seolah-olah meraikan kepayahan ribuan pelajar dan mengamalkan politik dendam menimbulkan tanda tanya adakah beliau yang mengarahkan PTPTN menyekat pinjaman.

“Beliau harus menjadi pemuka yang paling intelek untuk mempertahankan model pendidikan tinggi yang mendahulukan swasta seperti sekarang, bukannya mengambil sikap kebudak-budakan dan berdendam menghukum pelajar,” tegasnya.

Selain itu, Rafizi turut memuji Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang dilihat lebih sesuai dan professional dalam hal ini.

“Saya harus memuji Khairy yang dilihat lebih profesional dalam hal ini. Sewajarnya beliau lebih layak menjadi menteri KPT,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Rafizi mencabar Khaled mengemukakan kepada rakyat sama ada benar atau tidak beliau merupakan pihak yang bertanggungjawab menyekat pinjaman pelajar Universiti Industri Selangor itu.

“Jika benar, tindakan itu perlu dikutuk kerana beliau mengamalkan politik dendam. Jika tidak, beliau perlu canpurtangan dan memastikan tindakan kebudak-budakan ini zalim dan tidak berlaku lagi pada masa akan datang,” tegasnya.

Laporan media sebelum ini menyebut permohonan pelajar-pelajar baru universiti tersebut untuk membuat pinjaman PTPTN telah dibekukan.

Bagaimanapun, tiada kenyataan hitam putih berhubung perkara itu dikeluarkan, dan sebab pembekuan itu juga tidak dinyatakan.

Isu berkaitan PTPTN menjadi hangat apabila sekumpulan mahasiswa daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mula mengadakan demonstrasi aman dengan berkhemah di Dataran Merdeka menuntut pemansuhan pinjaman kewangan tersebut dimansuhkan.

Pakatan Rakyat (PR) pula mula menggunakan isu itu untuk menarik sokongan kumpulan belia, yang mana merupakan pengundi baru.

Malah, Rafizi juga telah mengadakan debat terbuka dengan Khairy berhubung perkara itu.

 

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi