Bahasa

Rais: Adil untuk rebat semua jenis telefon pintar

KUALA LUMPUR, 6 Jan — Putrajaya bertindak adil dengan membatalkan harga siling RM500 untuk skim rebat telefon pintar RM200 dan ia tidak akan menyusahkan golongan muda yang berpendapatan rendah, kata Datuk Dr Rais Yatim. 

Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi itu berkata, kumpulan sasaran asal - orang muda berpendapatan rendah, masih mempunyai akses untuk rebat di bawah skim bernilai RM300 juta yang diperkenalkan dalam Bajet 2013. Minggu lalu, Kabinet membuat keputusan untuk membatalkan harga siling itu selepas menerima aduan dari Pemuda Umno dan MCA.

“Kami merasakan peluang ini patut diberikan kepada semua,” kata Rais (gambar), yang pada awalnya berkata pembelian telefon pintar berdasarkan kemampuan dan keperluan. Beliau berkata terdapat model telefon pada harga RM500 dan yang ke atas, jadi ia “adil kepada semua”. 

“Ini tidak bermakna mereka mengambil hak golongan yang mampu mendapatkan telefon RM500,” katanya dalam sidang media di sini. Beliau memberi contoh kepada golongan muda yang tidak mampu membeli telefon pintar bernilai RM700 dan memilih RM600, dan menambah terdapat aduan sebelum ini bahawa telefon bernilai RM550 tidak termasuk dalam skim rebat "one-off" tersebut.

Rais turut berkata sebuah panel yang terdiri daripada syarikat penjual telefon bimbit dan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM) akan ditubuhkan bagi mengelakkan pengambilan keuntungan berlebih-lebihan.

Skim RM300 juta itu dijangka memberi manfaat kepada 1.5 juta golongan muda berusia 21 hingga 30 yang berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan. 

Skim tersebut diumumkan hujung September lalu, dan pendaftaran secara ‘online’ untuk diskaun bagi telefon berinternet itu bermula pada 1 Januari ini. 

Bila ditanya tentang ada khuatiran bahawa golongan muda yang masih belum mendapat akses Internet disukarkan dengan pendaftaran online, Rais berkata "tidak ada yang ideal dalam dunia ini, kita cuba yang terbaik."

Beliau kemudian mempersoalkan apakah beban untuk pendaftaran online, dan berkata ia tidak bermaksud untuk menyukarkan pengguna.

Beliau berkata pendaftaran hanya mahu mengumpul data supaya industri boleh mengetahui "berapa ramai yang mahu membeli telefon bimbit".Semalam, seorang pegawai SKMM yang tidak dinamakan berkata skim rebat tersebut telah menarik ramai golongan muda bandar apabila harga siling RM500 dimansuhkan.

"Dan akhirnya, hanya segelintir kecil dari 1.5 juta golongan yang layak untuk skim ini dipercayai datang dari penduduk luar bandar, kerana penduduk bandar mempunyai akses Internet yang lebih baik," katanya yang dipetik oleh Sin Chew Daily.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.