
Kedudukan menteri itu dilaporkan mengatasi ruang liputan diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Rais yang ditemui pada majlis Syarahan Perdana Budaya dan pelancaran buku Che Det di sini menyifatkan kenyataan tersebut sekadar “cakap-cakap orang” berkaitan peranan yang dimainkan beliau dalam parti.
“Macam-macam pihak bercakap tentang peranan saya dalam parti, walau bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kerana meletakkan saya sebagai orang kedua terpenting,” katanya dalam nada sindir.
Buku itu memaparkan detik-detik hebat dalam kerjaya Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat, melengkapi sebahagian usaha pendokumentasian sejarah pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.
Buku dwibahasa yang mempunyai 418 halaman, diterbitkan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, disusun sebegitu rupa agar ia dapat dijadikan bahan penghayatan terhadap tokoh-tokoh negara dan menjadi rujukan sejarah. Buku itu mengandungi lebih daripada 470 gambar berkapsyen yang dirakam dari semasa ke semasa sejak Dr Mahathir, atau lebih mesra dikenali sebagai “Che Det” memegang jawatan Perdana Menteri dari 1981 sehingga beliau bersara pada 2003.
Ia dilancarkan secara rasmi oleh Dr Mahathir dan Rais di Hotel Palace of the Golden Horses di Seri Kembangan dekat ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata, beliau hanya sekadar menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada negara yang berlandaskan kepada penerangan dan budaya masyarakat di negara ini.
“Saya hanya menjalankan tanggungjawab, berdasarkan kepada penerangan dan kebudayaan, ada sesetengah perkara penting yang memerlukan pendapat, saya akan beri pendapat, bagi saya, itu sekadar memikul tanggungjawab, saya bukanlah orang nombor dua,” katanya.
Tambah Rais, memandangkan beliau bertanggungjawab ke atas penerangan dan kebudayaan, memang sesuai baginya untuk memberi komen terhadap beberapa perkara berkaitan kementeriannya itu.
Perkara itu menurut Rais, ibarat melukut di tepi gantang, dan beliau bersyukur sekiranya ada pihak yang terasa hati dengan perkara berkenaan.
“Saya sekadar memberikan pandangan, belum tentu lagi akan diterima pandangan tersebut, ibarat melukut di tepi gantang, tidak lengkap tidak genap, keluar pun tidak menjadi kurang,” katanya lagi.
Laporan The Malaysian Insider pagi tadi memetik pegawai khas Tengku Razaleigh, Mohd Lukhwan Ghani sebagai berkata orang pertama yang diberi keutamaan oleh Umno adalah Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Tambah Muhd Lukhman , Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan isterinya Datin Seri Maznah Rais menduduki tangga kedua daripada senarai tersebut.
“Tempat ketiga diberikan kepada pengampu-pengampu Najib dan yang menyalak ke arah (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) seperti Senator Ezam Mohd Nor dan Zaid Mat Arip serta ahli-ahli Parlimen bebas yang mengecam pembangkang. Muhyiddin tak ada dalam ranking empat yang utama, apatah lagi naib-naib presiden Umno,” katanya lagi.
Muhd Lukhman menambah, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno tidak sedar yang dirinya juga sedang dipinggirkan oleh media Umno.
Mengambil kira pandangan itu, beliau berkata, status Muhyiddin mungkin berada di tangga kelima dalam carta ‘orang yang diberi prioriti’ oleh Umno dalam melahirkan suara mereka.
Komen itu muncul di sebalik pandangan Tengku Razaleigh kelmarin bahawa Ketua Umno Gua Musang itu melancarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) dengan beliau sebagai presidennya, sebagai platform untuk menyuarakan pendapat secara lebih meluas.
Kelmarin beliau mengumumkan agenda susulan pertubuhan itu selepas menerima kelulusan Pendaftar Pertubuhan bulan lalu.
Ahli Parlimen Gua Musang itu juga menegaskan beliau terpaksa menubuhkan Amanah kerana tidak lagi mempunyai ruang untuk bersuara dalam Umno.






