Bahasa

Rais yakin BN akan dikembalikan sebagai juara

May 05, 2013

JELEBU, 5 Mei — Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menaruh penuh keyakinan Barisan Nasional (BN) akan dikembalikan sebagai juara pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau berkata ia berdasarkan kepada pencapaian dan kemajuan yang telah dibawa BN serta keprihatinan kerajaan dalam membantu mengangkat kehidupan masyarakat selama lebih daripada lima dekad.

“Ini (keyakinan) bukan sebab suasana yang berdepanan dengan kritikan-kritikan. Tetapi adalah suasana yang mencerminkan tamadun cara hidup, pencapaian, kemajuan dan juga budi yang telah ditaburkan oleh kerajaan BN.

“Bagi ibu bapa dan pelajar serta masyarakat kampung, mereka faham perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas mengundi di Balai Raya Kampung Gagu di sini hari ini.

Turut sama membuang undi di situ ialah isteri beliau Datin Seri Masnah Rais.

Rais berkata dalam keadaan kehangatan pilihan raya, adalah perkara biasa bagi BN menghadapi beberapa tekanan dan kritikan Pakatan Rakyat, namun itu tidak akan mempengaruhi pengundi dan yakin kerusi Parlimen Jelebu akan tetap menjadi milik BN.

“Dalam pada masa yang sama Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sebagai presiden parti dan BN akan bersama-sama rakyat malam ini untuk melihat bahawa pulangan BN itu tidak akan dilupai.

“Mari kita berdoa supaya tidak ada insiden negatif berlaku di negara kita dan kita buktikan sebagai satu negara, kita mampu untuk menguruskan sistem pemilihan dalam pengundian PRU13 berjalan lancar seperti ditradisikan selama ini,” katanya.

Sambil mengucapkan selamat maju jaya kepada BN untuk mendapat mandat daripada rakyat, Rais turut menasihati pengundi untuk menunaikan kewajipan mereka sebagai rakyat Malaysia di awal hari berikutan kemungkinan cuaca yang tidak menentu pada waktu petang boleh mempengaruhi semangat untuk membuang undi.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Jelebu tidak mempertahankan kerusi tersebut untuk memberi laluan kepada Naib Ketua Umno Bahagian Jelebu, Zainudin Ismail yang bersaing dengan calon PAS, Raj Munni Sabu. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi