Bahasa

Rakyat boleh tentukan BN jadi parti tunggal, kata Tengku Adnan

 

PUTRAJAYA, 25 Mei — Rakyat dan anggota parti Barisan Nasional (BN) boleh menentukan sama ada sudah tiba masanya untuk menjadikan BN sebagai satu parti tunggal dengan nama baharu, sesuai dengan perubahan politik semasa. 

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata cadangan yang dikemukakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 itu, kini dibangkitkan semula, justeru ia perlu diberi perhatian serius agar BN terus relevan dan diterima rakyat, terutamanya golongan belia yang akan mencorakkan negara ini.

“Kita (BN) memang melihat kepada situasi adakah waktunya sudah tiba untuk BN menjadi satu parti tunggal. Begitu juga rakyat sedia atau tidak, kita belum tahu lagi. Tapi ramai yang mahukan ia perlu buat. Kita juga tengah melihat dan meneliti kaedah-kaedah untuk melaksanakan cadangan itu.

“Kita (BN) juga dapat maklum balas yang banyak daripada parti-parti komponen yang bersetuju supaya diadakan satu parti sahaja. Kita juga kena tukar nama BN misalnya Barisan Satu Rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan persembahan Muay Thai yang dianjurkan bersempena Festival Belia Putrajaya 2013 di sini hari ini.

Cadangan untuk menjadikan BN sebuah parti tunggal disuarakan Pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn baru-baru ini agar BN bersifat sebagai satu parti tunggal selepas parti gabungan itu hanya memenangi 133 kerusi parlimen pada PRU13 berbanding 140 pada PRU12.

Tengku Adnan (gambar) yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata sebelum ini pun beberapa parti komponen BN menyatakan persetujuan mereka ke arah penyatuan BN menjadi satu parti tunggal agar ia lebih berkesan dalam mendekati dan berkhidmat untuk rakyat.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata perkara itu juga perlu dibincangkan secara mendalam dan seterusnya mendapatkan maklum balas daripada masyarakat memandangkan BN mewakili kaum tertentu di negara ini.

“Setiap parti komponen perlu memikirkan perkara ini berikutan keputusan pilihan raya umum lalu yang menyaksikan berlakunya perubahan pola pengundian. Banyak perkara perlu difikirkan sebelum perkara ini dimuktamadkan.

“Ramai kini tolak Umno, MCA, MIC dan Gerakan, tetapi mereka masih suka pada BN. Mereka suka pada konsep 'multi-racial' BN yang kita amalkan. Justeru semua parti komponen kena putuskan mengenai perkara ini,” katanya.

Menurut Tengku Adnan, meskipun cadangan itu baik namun setiap parti komponen

perlu melakukan kajian mendalam dengan mendapatkan maklum balas serta pandangan anggota parti kerana ia melibatkan soal organisasi dan struktur penubuhannya.

Katanya perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan datang. — Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.