
Sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Malaysia, beliau turut mengingatkan bahawa kebahagiaan sambutan yang dikecapi hari ini adalah hasil perpaduan serta toleransi yang telah dibina sejak sekian lama.
“Dalam semangat muhibbah sempena Aidilfitri ini, marilah kita sama-sama memohon maaf, melupakan segala persengketaan dan memperkukuhkan jalinan perpaduan antara masyarakat majmuk di negara kita,” katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri yang akan disambut esok.
Beliau berkata sambutan Aidilfitri, seperti juga Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Wesak dapat menyemai semangat bersatu-padu dan berharmoni di antara masyarakat berbilang kaum.
Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada anggota pasukan keselamatan serta pegawai dan kakitangan awam yang telah memberi sumbangan menjaga keamanan dan keselamatan negara, serta memastikan semuanya berjalan dengan lancar.
Beliau menyeru agar budaya kunjung-mengunjung yang merupakan budaya unik masyarakat Malaysia diteruskan untuk mengeratkan silaturrahim, serta menggalakkan suntikan semangat 1Malaysia dalam menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Di KUCHING, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng meminta rakyat menghargai dan mempertahankan perpaduan yang telah wujud di kalangan masyarakat berbilang bangsa di Sarawak dengan sebaik-baiknya.
Beliau berkata perpaduan kaum adalah aset yang amat berharga, terutama sekali kepada generasi yang akan datang.
“Ambil peluang pada hari yang mulia ini untuk kita memperbaiki kesilapan serta memohon maaf serta ampun sesama kita agar hubungan serta ikatan persaudaraan sesama kita semakin kukuh, ibarat air yang dicincang tidak akan putus,” katanya dalam perutusan Hari Raya.
Dalam meraikan sambutan Aidilfitri, beliau berkata aktiviti generasi muda perlu diberi perhatian memandangkan masalah sosial yang semakin membimbangkan.
“Berikanlah didikan serta pelajaran yang terbaik dan berterusan kepada anak-anak kita,” katanya sambil menambah bahawa cabaran yang bakal mereka hadapi pada masa akan datang adalah jauh lebih rumit dan mencabar.
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud pula berkata beliau percaya Sarawak akan dapat mencapai pembangunan yang lebih cepat di atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada masalah rakyat di Sarawak.
Di KUALA KLAWANG, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu terus kukuh dan bersatu padu dalam menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.
“Kita ingin menyatakan ini dengan penuh kesedaran bahawa masa ini banyak perkara yang telah dikemukakan bagi mencabar kehidupan kita.
“Justeru, kita perlu kukuh dan kukuhan inilah yang kita pohon menerusi gagasan 1Malaysia iaitu memperkukuhkan masyarakat untuk terus bersatu padu,” katanya.
Rais yang juga Ahli Parlimen Jelebu berharap umat Islam dapat mempertingkatkan perpaduan di kalangan mereka bagi menghadapi pelbagai cabaran pada masa akan datang.
Di SEREMBAN, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata dengan berakhirnya Ramadan, umat Islam perlu membuka lembaran baru bagi memperbaharui azam dan tekad selari dengan keperluan ukhuwah.
Beliau berharap amalan ziarah-menziarahi melalui majlis rumah terbuka yang menjadi budaya rakyat Malaysia perlu dimanfaatkan semaksimum mungkin bagi mengukuhkan hubungan bukan sahaja di kalangan saudara mara bahkan rakan-rakan dan teman taulan dari berlainan bangsa dan agama.
“Apapun, seperkara yang harus disedari oleh kita sekelian ialah untuk mengamalkan kesederhanaan dalam apa jua kegiatan dan urusan, termasuk juga ketika merayakan hari besar ini,” katanya. – Bernama







