Bahasa

Rakyat Palestin perlukan bantuan dan sokongan masyarakat antarabangsa

KUALA LUMPUR, 26 Nov — Gencatan senjata akhirnya berjaya dilaksanakan selepas lapan hari konflik meletus di Semenanjung Gaza, sekaligus membawa khabar gembira kepada dunia terutamanya umat Islam.

Persetujuan gencatan senjata rejim Tel Aviv-Palestin, yang menetapkan kedua-dua pihak berhenti menyerang lawan masing-masing, itu bagaimanapun tidak bermakna rakyat Palestin sudah dapat menarik nafas lega sepenuhnya.

Bantuan kemanusiaan masih amat diperlukan rakyat Palestin untuk membina semula kehidupan berikutan kemusnahan, kehilangan nyawa dan harta benda akibat serangan Israel di wilayah berkenaan.

Atas nama naluri kemanusiaan sejagat, serangan kejam rejim Zionis ke atas penduduk Gaza bukan sahaja mengundang simpati tetapi juga menggerakkan pelbagai bantuan kemanusiaan dilakukan segera bagi membantu seluruh mangsa peperangan di Gaza. Masyarakat antarabangsa tanpa mengira agama dan kaum turut terus mendesak agar tindakan ketenteraan jet pejuang Israel dan roket Hamas dihentikan.

Ini soal hak asasi manusia. Acap kali apabila konflik Israel-Palestin, yang sudah lama berlarutan, para pemimpin dan rakyat Malaysia akan bercakap dalam satu nada membicarakan tentang penindasan, perampasan hak, penghinaan dan kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin, rata-ratanya umat Islam. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.