Bahasa

Rakyat patut bersyukur insiden Lahad Datu masih ditangani dengan bijaksana — Muhyiddin

February 22, 2013

KOTA KINABALU, 22 Feb — Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana pasukan keselamatan negara masih dapat menangani secara bijaksana isu pencerobohan warga Filipina sejak 12 Feb lepas di Kampung Tanduo, Lahad Datu, bahagian pantai timur Sabah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar).

Timbalan perdana menteri berkata apa yang penting sekarang ialah insiden itu diharap dapat diselesaikan dengan cara baik tanpa berlaku pertumpahan darah.

“Insiden di Lahad Datu mempunyai kesan dari segi apa sahaja yang berlaku di negeri ini tentu ada impaknya.

“Tapi yang kita rasa bersyukur ialah bahawa soal itu telah dan masih ditangani secara bijaksana oleh pasukan keselamatan dan polis kita, dan ini telah dijelaskan dengan nyata oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) semasa beliau berada di sini dan kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) dan IGP (Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar),” kata timbalan pengerusi Barisan Nasional itu kepada pemberita ketika diminta mengulas perkembangan terkini isu pencerobohan itu.

Beliau sebelum itu mendengar taklimat pilihan raya daripada pengerusi-pengerusi penyelaras bahagian BN Sabah di Bangunan Umno, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik bagi menangani isu pencerobohan itu seperti yang diharapkan rakyat.

“Kalau itu dapat kita lakukan, Insya-Allah, rakyat di negeri Sabah terutamanya akan rasa bahawa keselamatan sentiasa terpelihara.

“Mereka dapat menyaksikan kepimpinan di peringkat negeri dan juga pusat telah berusaha menyelesaikan masalah sensitif itu dengan keadaan yang baik dan impaknya adalah baik, katanya.

“Maknanya rakyat tahu kita boleh urus apa sahaja masalah yang timbul dan tidak membawa kesan buruk kepada negeri ataupun negara,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan akan memberi perhatian yang paling utama soal keselamatan rakyat Sabah. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi