Bahasa

Ramayana – Bahagian 18

KUALA LUMPUR, 5 Mei — “Dewi Gangga? Apakah Dewi Gangga ini sama dengan watak yang muncul dalam epik Mahabharata dan dijadikan isteri oleh Raja Santanu?”

Demikian Ganesh bertanya dengan penuh minat apabila nenek menyebut nama berkenaan.

“Betulkah, paati?” Dhurga juga berminat untuk tahu. “Benarkah Dewi Gangga ini sama dengan watak gadis jelita yang muncul di tebing Sungai Ganges dalam Mahabharata?”

Nenek yang sedang bercerita hanya tersenyum seperti biasa. Beliau terasa gembira kerana kedua-dua cucunya yang berumur 12 dan 10 tahun itu memiliki daya pemikiran yang tajam. Sebaik sahaja nama Dewi Gangga disebut, maka mereka teringat akan watak dengan nama yang sama dalam satu lagi epik terkenal dalam tradisi tamadun India.

“Apa pandangan kamu?” Nenek memandang Ganesh dan Dhurga silih berganti. “Adakah kedua-duanya watak yang sama atau hanya ada persamaan pada nama?”

Giliran Ganesh dan Dhurga pula untuk saling berpandangan. Kemudian masing-masing mencebik sebagai tanda tidak tahu.

“Teks mana satu yang muncul dahulu, paati?” Ganesh bertanya dalam usaha mendapatkan sedikit maklumat tambahan.

“Cara untuk kamu mencari jawapan bagi soalan itu amat mudah,” nenek berkata sambil membetulkan silanya di atas lantai. “Rujuk sahaja pada umur watak Hanuman dalam kedua-dua epik.”

“Saya tahu! Saya tahu!” Dhurga segera melompat girang. “Hanuman dalam epik Ramayana masih muda tetapi Hanuman dalam Mahabharata sudah tua. Maknanya, kisah Ramayana berlaku sebelum kisah Mahabharata.”

“Memang bijak,” kata nenek dengan gembira dan bangga. “Jadi, kisah dalam Ramayana juga membantu kita untuk memahami watak Dewi Gangga yang kemudian turut muncul dalam Mahabharata.”

“Jadi, adakah Putera Amshuman berjaya memujuk Dewi Gangga datang memandikan abu hitam yang bertaburan merata-rata di atas tanah serta menghidupkan semula kesemua 60,000 putera kepada Raja Sagara?”

Nenek tidak segera menjawab. Beliau membayangkan kisah yang berlaku di istana Ayodhya di tebing Sungai Sarayu. Setelah bertemu Maharishyi Kapila, Amshuman pulang menyampaikan berita sedih kepada Sagara.

Petua yang diberikan oleh maharishyi itu tidak mampu dilaksanakan dengan segera oleh Amshuman mahu pun oleh anak-anaknya. Malah, hanya cicit kepada cucu Amshuman yang akhirnya berjaya memujuk Dewi Gangga supaya datang memandikan 60,000 putera yang sudah terbakar menjadi abu.

Cicit kepada cucu itu bernama Raja Bhagiratha. Baginda mendengar kisah pembakaran 60,000 putera oleh Maharishyi Kapila sejak kanak-kanak. Akhirnya, apabila sudah dewasa dan menjadi raja di Ayodhya, Bhagiratha memutuskan untuk memujuk Dewi Gangga.

Ada pun dewi itu tinggal di kayangan. Setiap hari, Bhagiratha mendongak ke langit dan merayu supaya Dewi Gangga sudi turun ke Ayodhya. Dewi yang jelita itu pula tidak mudah dipujuk. Tambahan pula apabila diminta turun ke bumi untuk membantu manusia.

Walaupun begitu, Bhagiratha tetap berusaha setiap hari. Baginda mendongak ke langit dan berdoa tanpa henti. Akhirnya Dewi Gangga terasa amat kasihan kepada raja itu. Maka, dewi itu muncul di awangan dan menunjukkan dirinya kepada Bhagiratha.

“Sudah bertahun-tahun saya mendengar pujuk dan rayu kamu. Nampaknya kamu memang memiliki daya tahan yang tinggi serta tidak mudah menyerah kalah,” kata dewi itu sambil tersenyum ke arah Bhagiratha.

Raja itu pula terasa amat gembira kerana akhirnya Dewi Gangga muncul di celah-celah awan dan menunjukkan wajahnya. Barulah kelihatan dengan jelas bahawa dewi itu adalah dewi air (water godess).

“Saya amat berharap Dewi Gangga akan sudi turun ke bumi dan membasahi abu 60,000 orang dalam keluarga saya yang hangus dalam suatu insiden lama dahulu,” kata Bhagiratha sebelum menghuraikan apa yang telah berlaku.

“Baiklah. Saya bersetuju untuk turun dari langit tetapi kamu perlu memenuhi permintaan saya.” – Bersambung minggu depan

 * Uthaya Sankar SB adalah seorang penulis bebas dan beliau aktif dalam Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada Ogos 1999.]

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.