Bahasa

Ramayana – Bahagian 19

Oleh Uthaya Sankar SB
May 12, 2013

Ilustrasi oleh Hussain SajadIlustrasi oleh Hussain SajadMAY 12 — Raja Bhagiratha tertanya-tanya apakah permintaan yang bakal dikemukakan oleh Dewi Gangga iaitu dewi air (water goddess) yang tinggal di kayangan.

Berdasarkan petua yang ditetapkan serta diceritakan oleh Maharishyi Kapila kepada Putera Amshuman pada suatu masa dahulu, Dewi Gangga perlu turun ke bumi dan memandikan abu kesemua 60,000 putera Raja Sagara. Barulah mereka akan hidup semula.

“Apakah permintaan itu? Jika terletak dalam bidang kemampuan saya, maka pasti akan saya laksanakan.”

“Bagaimana pula jika ia terletak di luar kemampuan? Apakah kamu akan berhenti memujuk saya turun ke bumi? Atau adakah kamu akan cuba menggunakan segala tipu-helah dan penipuan seperti yang biasa dilakukan oleh manusia untuk mencapai hasrat dan kejayaan yang diimpikan?”

Bhagiratha terdiam seketika apabila mendengar hujah yang dikemukakan oleh Dewi Gangga. Raja yang tinggal di istana Ayodhya di tebing Sungai Sarayu itu sedar bahawa pihak yang berkuasa biasanya akan sanggup melakukan apa sahaja untuk tidak mengaku kalah.

Misalnya, seperti dirinya, apabila sudah begitu lama memegang kuasa serta merayu kepada Dewi Gangga supaya “Sayangi Ayodhya, Yakini Raghu Vamsa”, apakah Bhagiratha akan mengaku kalah kalau ditakdirkan Dewi Gangga memilih untuk tidak memenuhi pujuk-rayunya? Atau dia tidak akan teragak-agak menggunakan segala kuasa dan kemampuan bagi memastikan Dewi Gangga tunduk pada kemahuannya?

“Saya amat berharap Dewi Gangga akan sudi turun ke bumi dan membasahi abu 60,000 orang dalam keluarga saya yang hangus dalam suatu insiden lama dahulu,” Bhagiratha mengulangi permintaannya dengan tenang dan penuh mengharap.

“Maka kamu bersetuju memenuhi permintaan saya?” Dewi Gangga meminta kepastian sambil terapung-apung di atas awan.

“Apakah permintaan itu?” Bhagiratha bertanya dengan penuh harapan bahawa syarat yang diletakkan mampu dipenuhinya.

“Apabila saya turun dari kayangan ke bumi, saya akan mengalir bagai sungai yang amat deras. Nescaya Ayodhya tidak akan mampu menahan air yang mengalir deras dengan tekanan maha tinggi itu. Maka, kamu perlu memujuk Dewa Shiva supaya tunduk melutut di bumi dan membenarkan saya menghentam bahunya apabila saya mengalir turun nanti.”

Bhagiratha mendengar dengan teliti serta berusaha mencerna maksud permintaan itu. Setelah bertahun-tahun lamanya memuja dan memujuk Dewi Gangga, kini nampaknya dia perlu pula memujuk Dewa Shiva supaya akur pada permintaan dewi air itu.

Seperti biasa diceritakan dalam mitos dan purana berkaitan dewa-dewi dalam budaya India, memang ada pelbagai sengketa dan perebutan kuasa dalam kalangan dewa-dewi di kayangan.

“Mungkin sahaja ada hutang lama antara Dewi Gangga dan Dewa Shiva; maka mahu dilangsaikannya pada kesempatan ini,” fikir Bhagiratha sambil terus mempamerkan wajah selamba. “Namun begitu, memanglah benar bahawa Ayodhya tidak mampu menahan dewi air yang turun dari kayangan dalam bentuk sungai atau air terjun. Tekanan air pasti terlalu tinggi.”

Dewi yang jelita itu turut terdiam seketika; bagaikan memang memberikan ruang dan peluang kepada Bhagiratha untuk bermonolog dalam diri. Dewi Gangga turut terkenang akan Dewa Shiva iaitu antara dewa yang dianggap paling berkuasa dan berpengaruh di kayangan.

“Mungkin sudah tiba masa dan peluang yang saya nantikan sejak dahulu untuk membuatkan Shiva tunduk di hadapan saya. Apabila saya mengalir deras dari kayangan dan menghentam tubuhnya, bolehlah saya berusaha memujuknya secara halus supaya menerima saya menjadi isteri keduanya.”

Demikian Dewi Gangga pula bermonolog dalam diri. Dewi itu tahu bahawa cara paling mudah dan terbaik untuk menundukkan Dewa Shiva adalah dengan menjadi isterinya. Selepas itu, tiada masalah untuk menentukan siapakah dewa atau demi yang lebih berkuasa di kayangan. — Bersambung minggu depan

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi