Bahasa

Ramayana — Bahagian 8

Ilustrasi oleh Hussain Sajad Ilustrasi oleh Hussain Sajad Permaisuri Sudakshina sedikit terkejut apabila diberitahu oleh Raja Dilipa bahawa baginda akan meninggalkan istana selama sekurang-kurangnya 21 hari untuk menjadi penjaga lembu. 

“Mestikah tuanku tinggal di kandang lembu bersama-sama Nandi di ashram milik Maharishyi Vasishta? Tidak adakah cara lain yang lebih bermaruah dan sesuai dengan kedudukan tuanku sebagai pemerintah kerajaan Surya Vamsa di Ayodhya?” Sudakshina bertanya dengan perasaan terkejut dan sedih. 

“Apakan daya kita, wahai isteri tersayang. Seperti diceritakan oleh Maharishyi Vasishta kepada beta pada petang tadi, hanya ini cara untuk melunakkan sumpahan yang dikenakan oleh Kamadhenu ke atas beta semasa beta masih bujang,” kata Dilipa sambil merangkul pinggang isterinya dengan penuh kasih. 

Dipendekkan cerita, pada awal subuh keesokan hari, Dilipa meninggalkan istana di tebing Sungai Saryu dan menuju ke asrama milik Vasishta. Baginda kini memakai pakaian biasa yang sesuai dengan tugas sebagai pengembala lembu. 

Tugas baginda adalah menjaga Nandi dengan baik sementara ibunya, Kamadhenu, ditempatkan di kandang yang lain. Pada waktu pagi, tengah hari dan petang, Dilipa bertanggungjawab memberikan makanan kepada Nandi. 

Kemudian, baginda juga perlu membawa lembu betina itu meragut rumput di padang berhampiran. Pada sebelah malam, Dilipa tidur di dalam kandang lembu, tidak jauh dari tempat Nandi tidur. 

Selama beberapa hari pertama, Dilipa tidak tahan menghidu bau tahi dan kencing lembu. Walau bagaimanapun, baginda sedar bahawa semua rintangan dan kesukaran itu terpaksa dihadapi dengan tabah dan tenang. 

“Jangan lupa bahawa setelah berkhidmat dengan setia selama 21 hari menjaga kebajikan Nandi, tuanku ada peluang untuk memohon lembu betina itu melunakkan sumpahan yang dikenakan oleh ibunya.” 

Demikian pesanan Vasishta yang terngiang-ngiang dalam telinga raja itu pada setiap kali baginda tidak tahan dengan bau busuk di kandang. 

Dua hari sekali, Dilipa membawa Nandi ke tebing sungai dan memandikannya. Pada setiap hari, tahi lembu di dalam kandang perlu diangkut dan dibawa ke kebun sayur di asrama milik Vasishta. Berbaldi-baldi air digunakan untuk membersihkan kandang itu daripada bau tahi dan kencing lembu. 

Kesemua tugas itu dilakukan oleh Dilipa dengan penuh kesabaran. Baginda berusaha keras untuk melupakan hakikat bahawa baginda adalah raja keturunan Surya Vamsa yang memerintah Kerajaan Ayodhya. 

“Aku perlu mengawal diri. Aku perlu mempunyai daya tahan yang tinggi. Aku perlu melupakan buat sementara waktu akan takhta dan kerajaan. Aku perlu berkhidmat kepada Nandi dengan penuh dedikasi. Barulah akan tiba masa untuk ia membalas budi.” Demikian Dilipa memberitahu dirinya berulang kali. 

Raja itu benar-benar berharap bahawa dalam masa 21 hari, lembu betina sakti tersebut akan berpuas hati dengan penjagaan yang diberikannya. Baginda berharap Nandi akan melunakkan sumpahan yang dikenakan oleh Kamadhenu dahulu. 

“Apabila sumpahan itu berjaya dilunakkan, bolehlah aku kembali ke istana di tebing Sungai Saryu dan berbulan madu bersama isteri tersayang. Moga-moga aku segera menjadi bapa kepada sekurang-kurangnya seorang putera yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan ini suatu hari nanti.” 

Demikian Dilipa bermonolog dalam diri sambil membersihkan kandang, memberi makan kepada Nandi atau membawa lembu betina itu meragut rumput di padang. 

Pada setiap hari Jumaat, upacara khas diadakan untuk meraikan Nandi. Kalungan bunga malai dipakaikan pada leher lembu sakti itu dan Dilipa membuat pooja (pemujaan) khas bagi mengiktiraf kesaktian lembu betina berkenaan. 

Hari berganti hari dan minggu berganti minggu. Akhirnya tibalah pada hari ke-21 Dilipa menjaga Nandi. Pada pagi itu, baginda seperti biasa membawa lembu betina berkenaan ke padang untuk meragut rumput. 

“Aku harap inilah hari terakhir walaupun Maharishyi Vasishta mengatakan bahawa tempoh antara 21 hari dan sebulan diperlukan untuk memikat hati Nandi. Aku harap tidak ada apa-apa perkara buruk berlaku dan memusnahkan usaha aku selama ini,” fikirnya apabila tiba di padang ragut. 

Bersambung minggu depan 

______________________________

 

[* Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa dan penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada 1996/97 dan 1998/99.]

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.