Bahasa

Rasmi: Khalid, Halim presiden dan setiausaha agung baru MTUC

PETALING JAYA, 29 Dis – Pasukan Khalid Atan yang mahu kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bebas ‘pengaruh politik’ menang bersih tiga jawatan utama badan induk kesatuan sekerja hari ini.

Syed Shahir Syed Mohamud gagal dalam usaha mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga.

Pada 2004 beliau menewaskan Datuk Zainal Rampak.

Kali ini beliau ditewaskan oleh Khalid Atan yang sebelum ini merupakan timbalannya.

Khalid memperoleh 255 undi manakala Syed Shahir pula 213 undi.

Barisan calon Syed Shahir juga gagal dalam saingan jawatan setiausaha agung apabila Halim Mansor menewaskan J Solomon dan Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid.

Sani kalah dalam percubaan kali kedua. Tiga tahun lalu beliau tewas empat undi.

Halim menerima 188 undi, Solomon 117 undi manakala Sani 165 undi.

Jawatan timbalan presiden juga dimenangi oleh pasukan Khalid.

Mohd Jafar Abd Majid menewaskan dua calon dalam saingan jawatan timbalan presiden. Dua calon yang tewas ialah P Maniyam dan Abdul Razak Md Hassan.

Jafar mendapat 170 undi manakala Maniyam menerima 157 undi dan Razak pula 140 undi.

Seramai 479 perwakilan mengundi pada pemilihan kali ini sedangkan yang layak adalah seramai 552 perwakilan.

Bagaimanapun kepimpinan MTUC 2010-2013 kelihatan bercampur-campur dengan kemenangan calon-calon barisan Syed Shahir.

Jawatan timbalan setiausaha agung dimenangi oleh Samuel Devadasan, yang mendapat 291 undi untuk menewaskan R Jey Kumar dari barisan Khalid Atan.

Awang Ibrahim dari pasukan Syed Shahir menang jawatan setiausaha kewangan. Beliau memperoleh 240 undi untuk menewaskan Abdullah Abu Bakar yang mendapat 225 undi.

Jawatan timbalan setiausaha kewangan dimenangi oleh Jimmy Tong dari kumpulan Khalid dengan 259 undi. Beliau mengatasi Md Helmee Abu yang mendapat 205 undi.

Dalam pada itu, pemenang kerusi naib presiden terdiri A Balasubramaniam, Robert Vijendran, Mohd Roszeli Majid, W. M. Naim Shukri Mohamad dan Mohd Khir Mansor yang mewakili sektor swasta, Kang Bee Leng, Rosilah Hashim dan Hashim Adnan (sektor awam) dan Zainal Ismail, Ahmad Helmi Ibrahim dan S Subramaniam (sektor badan berkanun).

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.