Bahasa

Ratusan pemegang kad pengenalan merah berhimpun di Putrajaya, JPN tutup pintu

Jabatan Pendaftaran Negara menutup pintu untuk menghalang peserta di Putrajaya, 12 Disember, 2012. — Gambar oleh Md IzwanJabatan Pendaftaran Negara menutup pintu untuk menghalang peserta di Putrajaya, 12 Disember, 2012. — Gambar oleh Md IzwanPUTRAJAYA, 12 Dis — Sekumpulan hampir 300 orang peserta “Himpunan Duduk Bantah” yang menuntut kad pengenalan biru dan hak kewarganegaraan sebagai rakyat Malaysia berhimpun di Jabatan Pendaftaran Negara(JPN), Putrajaya pagi ini.

Kumpulan tersebut datang dengan lebih 10 buah persiaran daripada seluruh negara mula berkumpul di lapangan tempat letak kereta berhampiran seawal jam 9 pagi sebelum bergerak ke JPN pada pukul 11 pagi.

Sebelum bermula perarakan ke JPN, beberapa pemimpin daripada Pakatan Rakyat (PR) dan penganjur himpunan memberikan ucapan kepada peserta yang majoritinya adalah masyarakat kaum India yang memegang kad pengenalan merah.

Penganjur perhimpunan Naib Presiden PKR N Surendran dalam ucapannya sebelum berarak menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menipu semasa ucapannya pada perhimpunan agung MIC lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hujung minggu lalu yang mengatakan hanya 9 ribu orang sahaja yang memohon kerakyatan kepada JPN.

“Najib kata 9,000, beliau menipu!

“Sebenarnya ia lebih daripada angka itu, ramai lagi rakyat Malaysia yang masih belum mendapat kerakyatan sebagai warganegara,” kata Surendran.

Sepanjang perarakan kumpulan tersebut ke JPN, para peserta bersorak “Najib tipu”, “Hishammuddin tipu”, “JPN tipu” dan “hidup rakyat”, serta membawa sepanduk dan replika kad pengenalan merah bergambar Najib dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Naib presiden PKR tersebut kemudiaan mengecam pentadbiran Najib yang memberikan kerakyatan kepada warga asing tetapi tidak lihat kepada rakyat Malaysia yang lahir dan membesar disini.

“Beliau (Najib) boleh bagi kepada warga asing kad pengenalan biru, tapi kepada rakyat sendiri sangat susah nak beri.

“Mereka ini lahir disini, bercakap bahasa Melayu dan membesar disini tapi tidak diberikan kad pengenalan,” tambah beliau.

Selepas selesai ucapan, beberapa ahli parlimen (MP) PR turut memberikan ucapan antaranya MP Subang (PKR) R. Sivarasa, MP Kapar (PKR) S. Manickasavagam dan bekas naib presiden MCA Datuk Chua Jui Meng.

Selain itu, turut bersama-sama dalam perhimpunan hari ini MP PAS iaitu Khalid Samad dan Dr Dzulkefly Samad.

Tepat jam 11 pagi, semua peserta perhimpunan bergerak ke pejabat JPN dengan kawalan lalu lintas dipantau oleh beberapa sukarelawan daripada Unit Amal PAS serta polis trafik.

Setengah jam kemudiaan, para peserta tiba di perkarangan hadapan pejabat JPN yang dikawal oleh sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan polis bantuan, tetapi pegawai JPN menutup pintu bagi menghalang peserta daripada masuk.

Surendran, Dzulkefly dan Chua kemudiaan berunding dengan salah seorang pegawai JPN diperkarangan pejabat dan kemudiaan membenarkan mereka masuk bertemu dengan ketua pengarah JPN, Datuk Jariah binti Mohd Said.

Selepas perbincangan itu, pemimpin PR keluar dengan sejumlah borang untuk diedarkan kepada orang ramai dan JPN membuka kaunter pendaftaran diluar pejabat untuk memproses permohonan peserta yang datang hari ini.

Surendran jangkakan 300 permohonan akan dibuat pada hari ini sambil tidak menolak akan ke JPN sekali lagi jika Najib tidak menyelesaikan masalah kerakyatan ini dengan segera.

“Saya jangkakan hari ini kita akan buat 300 permohonan dan akan lebih banyak lagi selepas ini.

“Kalau JPN tidak selesaikan masalah ini, saya tidak tolak akan ada satu lagi perhimpunan seperti ini,” tambah beliau.

Isu kerakyatan dibangkitkan oleh pemimpin PKR tersebut yang mendakwa terdapat seramai 300 ribu masyarakat India tidak memiliki kewarganegaraan pada minggu lalu.

Namun Najib membidas kenyataan tersebut dalam perhimpunan agung MIC hujung minggu lalu apabila mengatakan tuduhan pembangkang sebagai menipu dan bertujuan memburukkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Najib juga berkata berdasarkan perbincangannya dengan menteri sumber manusia Datuk Dr S. Subramaniam, hanya seramai 9,000 sahaja kaum India yang membuat permohonan untuk mendapatkan kerakyatan dan bukannya 300,000 sepertimana yang didakwa oleh pihak pembangkang.

“Saya diberitahu Subramaniam bahawa hanya 9,000 orang sahaja yang memohon untuk mendapatkan kerakyatan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,000 sudah diberikan kad pengenalan dan sijil kelahiran manakala selebihnya masih lagi dalam proses,” terang Najib lagi.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.