Bahasa

RCI pendatang haram Sabah perlu diberi kuasa bertindak

Oleh Mohd Farhan Darwis

May 20, 2012

KUALA LUMPUR, 20 Mei — Sidang Meja Bulat dwipartisan semalam telah menggesa pembentukan Suruhanjaya Diraja (RCI) yang diberikan kuasa bertindak terhadap pendatang haram yang diberikan hak kerakyatan di Sabah, dan mengambil tindakan terhadap mereka yang dikenal pasti bertanggungjawab terhadap perkara itu, 

Perbincangan yang dianjurkan Proham, sebuah organisasi pemerhati hak asasi manusia yang berlangsung semalam itu turut menuntut “penjelasan dan justifikasi rasmi” daripada kerajaan. Proham cadang tubuh RCI siasat peningkatan mendadak kerakyatan di Sabah 

Dalam sidang meja bulat di Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu, Proham turut mencadangkan terma rujukan (TOR) diberikan peruntukan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan tindakan yang sewajarnya dikenakan ke atas mereka. 

“RCI perlu diwujudkan bagi menyiasat peningkatan mendadak populasi di Sabah, yang mana warga asing turut memiliki kad status kelahiran Sabah. 

“Turut dicadangkan TOR mempunyai peruntukan untuk mengenalpasti dan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab. 

“Selain itu, penyiasatan itu juga perlu mengemukakan cadangan bagi mengatasi masalah ini,” jelas kenyataan tersebut. 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Proham turut menggesa siasatan dilakukan terhadap kumpulan warga asing yang menetap di Sabah dan anak mereka yang lahir di Negeri di Bawah Bayu tersebut. 

Bagi tujuan itu, Proham menegaskan individu yang dilantik menganggotai RCI tersebut haruslah terdiri daripada pihak yang benar-benar bebas dan dihormati masyarakat. 

Sidang meja bulat itu telah mengemukakan 10 cadangan dan telah dihadiri oleh wakil daripada badan bebas termasuk pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik, dan juga jabatan kerajaan. 

Antara panel yang hadir adalah Tan Sri Simon Sipaun dari Proham,  Prof Hamdan Adnan wakil dari Proham dan juga UMS, Jannie Lasimbang wakil Suhakam dan Rahmah Yunus, wakil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, termasuk  Prof. Madya Inon Shaharuddin Abdul Rahman, serta Dekan Fakulti Sains Sosial. 

Sidang meja bulat yang di moderatorkan oleh Datuk Dr Denison Jayasooria turut menjemput Setiausaha Agung Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazandusun Murut (UPKO), Datuk Wilfred Madius Tangau, wakil CASH,  Datuk Wilfred Datuk Patrick Sindu, dan Taufick Ruschi, serta wakil UMS, Dr Rahman Tang Abdullah. 

Panel lain termasuk wakil PKR, Dr Chong Eng Leong yang merupakan bekas Senator dari Parti Bersatu Sabah dan sering mengkritik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mengatakan beliau telah memberikan kerakyatan kepada  600,000 pendatang asing sewaktu pilihan raya negeri pada 1994 bagi memastikan Umno mengambil alih Sabah. 

Antara cadangan lain adalah Proham turut menuntut penjelasan rasmi berkenaan perkara itu dan justifikasi terhadap perubahan demografi di Sabah;  kerajaan persekutuan seakan-akan tidak mengambil berat masalah ini dan akan memberikan kesan kurangnya keyakinan rakyat terhadap pemimpin; perkara ini akan memberikan kesan terhadap ekonomi, politik, sosial dan budaya dan pembentukan RCI dalam masa terdekat termasuk TOR dipaparkan kepada umum. 

Selain itu, Proham juga menegaskan ia bukanlah satu proses yang mudah, sehubungan itu, komitmen dan kehendak politik yang kuat serta komitmen kerajaaan diperlukan bagi menangani isu ini. 

Cadangan lain; hak asasi manusia seharusnya diguna pakai secara universal tanpa melanggar hak pelarian dan pekerja asing dan tidak menyalahkan warga asing yang turut menjadi mangsa terhadap sistem tersebut serta kerajaan persekutuan perlu mengambil langkah dinamik menyelesaikan masalah yang berlaku di Sabah ini.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi