Bahasa

Ridhuan Tee senarai 10 sumbangan Melayu, nafi bukan Melayu pembayar cukai terbesar

Ridhuan Tee memberi jawapan kepada artikel sepuluh sumbangan bukan Melayu kepada negara dengan rencananya 'Pahitnya Berkata Benar'. – Gambar The Malaysian Insider, 12 Mei, 2014. Ridhuan Tee memberi jawapan kepada artikel sepuluh sumbangan bukan Melayu kepada negara dengan rencananya 'Pahitnya Berkata Benar'. – Gambar The Malaysian Insider, 12 Mei, 2014. Pensyarah kontroversi Dr Ridhuan Tee Abdullah hari ini menyenaraikan sepuluh sumbangan Melayu kepada Malaysia menjawab rencana sepuluh sumbangan bukan Melayu kepada negara ini yang disiarkan The Malaysian Insider baru-baru ini.

Beliau berkata penyumbang terbesar cukai di Malaysia bukannya datang daripada bukan Melayu sebaliknya adalah daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan orang Melayu yang merupakan kaum majoriti.

“Pertama, katanya, orang bukan Islam adalah penyumbang terbesar pendapatan cukai kepada negara. Salah. Saya jawab penyumbang terbesar adalah Petronas dan GLC lain. Buat kajian betul-betul.

“Cukai tidak langsung, iaitu cukai kepenggunaan paling banyak dibayar oleh orang Melayu kerana mereka adalah majoriti. Cukai langsung kita bincang kemudian,” katanya dalam artikel yang disiarkan akhbar Sinar Harian bertajuk ‘Pahitnya Berkata Benar’.

Menerusi artikel sebelum ini, The Malaysian Insider turut menyatakan sumbangan atlet yang mengharumkan nama negara di sukan Olimpik iaitu Datuk Lee Chong Wei dan Pandalela Rinong, pereka kasut terkemuka Jimmy Choo dan pendaki pertama ke puncak Gunung Everest iaitu M Magendran pada 1997.

Menjawab kenyataan itu, Ridhuan berkata daripada 29 juta rakyat Malaysia, mengapa nama Lee dan Pandalela sahaja yang disebut memberikan pingat pada 2012?

“Banyak lagi tahun sebelum itu. Bagaimana dengan nama Mokhtar Dahari, Kamarudin Maidin dan keluarga Misbun Sidek?” soalnya.

Pensyarah Universiti Pertahanan Negara Malaysia itu turut melihat walaupun Choo merupakan pereka kasut terkenal di dunia, namun berapa banyak yang terjual di pasaran dan adakah ia menjadi rebutan?

Beliau berkata walaupun Magendran merupakan orang pertama mendaki Everest pada 1997, namun ramai juga orang Melayu yang mendaki gunung tertinggi di dunia itu.

“Apakah orang pertama sahaja yang dikira sumbangannya? Bagaimana dengan perenang merentas Selat Inggeris seperti Datuk Malik Maidin?

“Saya juga tidak nampak nama mereka (Alex dan Karamjit) begitu besar dalam arena sukan permotoran dunia, biasa-biasa sahaja,” katanya.

Ridhuan turut menyifatkan walaupun Nicol merupakan ratu skuasy dunia, tetapi acara sukan itu tidak dikategorikan dalam sukan Olimpik. 

Mengulas mengenai perusahaan pertama lombong bijih yang diusahakan orang Cina pada 1820-an, Ridhuan berkata ia tidak akan tercapai sekiranya orang Melayu memberi tentangan terhadap usaha tersebut.

“Tidakkah penulis ini tahu apa tujuan penjajah membawa masuk tanaman ini? Untuk kepentingan negara atau diri mereka sendiri?

“Hari ini kelapa sawit menjadi komoditi utama, bukan getah lagi,” katanya mengulas mengenai HN Ridley yang didakwa memulakan penanaman getah di Tanah Melayu.

Pengacara Pencetus Ummah itu juga tidak bersetuju reka bentuk Masjid Negara yang diilhamkan Howard Ashley bersama Hisham Albakri dan Baharuddin Kasim sahaja yang diketengahkan.

Katanya, reka bentuk Masjid Besi, Masjid Putra dan Putrajaya juga perlu diketengahkan dan menonjolkan nama arkitek Melayu yang turut membina bangunan pencakar langit di luar negara.

“Kenapa kita tidak berterima kasih kepada pasukan keselamatan (rata-rata Melayu) yang menjaga keselamatan negara ini sehingga kita boleh menjadi juara dan kaya raya?

“Saya mahukan semua orang saling menghormati. Kita mahu lahirkan Malaysia yang aman tetapi tohmahan mereka keterlaluan,” katanya.

Ridhuan berkata penulis yang mengemukakan 10 sumbangan bukan Melayu tidak dituduh rasis, sebaliknya dirinya yang menulis fakta dihentam habis-habisan.

“Pahit sungguh berkata benar,” katanya mengakhiri ruang rencananya. – 12 Mei, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.