Bahasa

Ringgit dijangka melantun semula minggu depan

July 06, 2013

Ringgit dijangka melantun semula minggu depan sejajar dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), susulan pemulihan saham global dan keyakinan pelabur Eropah.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan berkata dasar sederhana Bank of England (BoE) dan European Central Bank (ECB) yang tidak dijangka, kebimbangan kredit yang semakin mereda di China serta harapan bahawa US Federal Reserve mungkin tidak mengurangkan rangsangan ekonomi membantu merangsang sentimen.

"Kami menyedari kenaikan positif dalam ekuiti global selepas BoE dan ECB mengejutkan pasaran dengan komen bertujuan menghalang kenaikan dalam kadar faedah pasaran. Kenyataan BoE dan ECB bahawa jangkaan pasaran ketika ini mengenai kenaikan kadar faedah pada 2015 adalah tidak wajar dan kadar itu akan kekal rendah bagi 'tempoh lanjutan' membayangkan keazaman bank-bank pusat global untuk melindungi pemulihan rapuh zon Eropah," katanya.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, pelabur kekal tidak memasuki pasaran menunggu petunjuk lebih kukuh daripada laporan pekerjaan AS sebelum mereka mengambil pegangan belian. Unit tempatan, yang berada dalam aliran menurun minggu ini, meningkat pada Khamis berikutan minat belian sederhana di tengah persekitaran ekonomi luar yang tidak menentu seperti pergolakan politik di Portugal.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit turun berbanding dolar AS kepada 3.1870/1900 daripada 3.1590/1620 Jumaat minggu sebelumnya. Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.4967/4996 daripada 2.5010/5051 pada Jumaat minggu sebelumnya dan meningkat berbanding yen kepada 3.1860/1897 daripada 3.1925/1962. Unit tempatan naik berbanding pound British kepada 4.7773/7824 daripada 4.8159/8221 pada Jumaat dan meningkat berbanding euro pada 4.1049/1097 daripada 4.1212/1258 sebelumnya. - Bernama, 6 Julai 2013.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi