Ringgit ditutup rendah berbanding dolar US
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS dalam dagangan lewat hari ini, apabila pembeli beralih kepada mata wang selamat berikutan kebimbangan terhadap krisis hutang Sepanyol, kata para peniaga.
Pada 5 petang, unit tempatan itu didagangkan pada 3.1700/1730 berbanding dolar AS daripada 3.1450/1520 pada Jumaat.
“Kemahuan mengambil risiko di kalangan pelabur merosot akibat situasi di Sepanyol sekarang,” kata seorang peniaga.
Mata wang tempatan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 2.5173/5207 daripada 2.5104/5138 Jumaat lepas dan jatuh berbanding yen kepada 4.0610/0653 daripada 4.0064/0112 sebelum ini.
Ringgit, bagaimanapun, meningkat berbanding pound British kepada 4.9271/9324 daripada 4.9414/9471 pada Jumaat dan mengukuh berbanding euro kepada 3.8376/8416 daripada 3.8607/8650 sebelum ini. – Bernama




