Rundingan dengan kumpulan penceroboh Lahad Datu diteruskan, kata Zahid
Beliau berkata ia membabitkan rundingan bersama pasukan polis manakala pihak tentera membantu dari segi operasi pemantauan.
Pihak keselamatan akan cuba sebaik mungkin menyelesaikan masalah itu melalui perundingan, bukan pertumpahan darah, katanya kepada pemberita selepas pelancaran jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Hulu Terengganu di sini.
Dalam kejadian Selasa lalu, dilaporkan lebih 100 anggota kumpulan lengkap bersenjata dan berpakaian celoreng tentera mendarat di pesisiran pantai Lahad Datu dengan menaiki bot pancung.
Terdahulu di Putrajaya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sumber risikan menunjukkan kumpulan itu bukan kumpulan militan atau pengganas tetapi penyokong Kesultanan Sulu. — Bernama




