Bahasa

Sabah maju di bawah BN, kata Musa Aman

KOTA KINABALU, 5 Nov — Sabah berkembang menjadi sebuah negeri yang maju, makmur, aman dan stabil menerusi pendekatan yang dilaksana kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Menteri Datuk Musa Aman.

Katanya kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukan hanya bertanggungjawab dan berupaya melaksanakan tugas, tetapi juga memberi perhatian kepada kepentingan rakyat dan negara.

“Ini membolehkan Sabah menjadi negeri yang membangun dengan mampan,” katanya berucap pada majlis pelantikan barisan pemimpin Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Sabah, di sini malam tadi.

Musa (gambar) berkata pertumbuhan ekonomi Sabah kekal teguh selain memiliki rizab yang kukuh.

“Ini testimoni komitmen kami dalam menggalakkan pertumbuhan modal insane seiring pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur bagi faedah rakyat,” katanya.

Musa berkata kerajaan negeri juga akan terus menyokong keperluan sekolah Cina termasuk dari segi pembiayaan.

“Untuk memastikan ini terlaksana, harus ada kestabilan politik serta sokongan daripada semua komuniti agar kami boleh mentadbir negeri tanpa ganguan politiking yang terlalu banyak.

“Kestabilan politik penting untuk menarik pelaburan serta membolehkan perniagaan berkembang pesat,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut mengumumkan dana RM100,000 untuk organisasi tersebut. — Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.