Bahasa

Saham Alam Maritim diniagakan aktif selepas terima kontrak Petronas Carigali

KUALA LUMPUR, 16 Jan — Saham Alam Maritim Resources Bhd diniagakan dengan aktif selepas mendapat kontrak Petronas Carigali bernilai RM576 juta.

Kontrak itu diterima melalui anak syarikat milik penuhnya, Alam Maritim (M) Sdn Bhd.

Syarikat itu mengumumkan penerimaan kontrak itu semalam.

Sehingga jam 11.00 pagi, harga sahamnya meningkat 4.0 sen atau 4.68 peratus kepada 89.5 sen dengan 25.6 juta saham diniagakan.

Kenanga Research berkata kontrak bagi penyediaan enam unit kapal bagi tempoh lima tahun dengan lanjutan opsyen setahun itu, diunjurkan menyediakan pulangan keuntungan bersih RM84.6 juta berasaskan margin 15 peratus.

Bagaimana pun, Kenanga Research mengekalkan anggaran pendapatan Alam Maritim tidak berubah kerana telah mengandaikan kadar penggunaan lebih tinggi sebanyak 80 peratus dan 83 peratus bagi segmen kapal sokongan luar pantai (OSV) masing-masing bagi tahun kewangan 2013 dan 2014.

OSK Research melihat kontrak itu sebagai “positif”, sambil menyatakan bahawa kadar purata kontrak yang diperoleh telah meningkat sebanyak 15-20 peratus berbanding tahun sebelum itu.

Sungguh pun begitu, katanya risiko utama Alam Maritim ialah kekurangan kontrak bagi kerja luar pantai, pemasangan dan pembinaan (OIC) dan bahagian bawah laut, yang akan selesai pada April.

“(Dengan menganggarkan tiada kerja), kerugian yang dianggarkan antara RM3 juta hingga RM4 juta sebulan, akan diseimbangkan oleh pertumbuhan pendapatan dari perniagaan OSVnya.”

Kenanga Research mengekalkan saranan “prestasi mengatasi pasaran” terhadap saham Alam Maritim dengan harga sasaran lebih tinggi kepada RM1.09 daripada 92 sen sebelum ini manakala OSK Research juga mengekalkan saranan “beli” dan mengekalkan harga sasaran RM1.25. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.