Bahasa

Saiful bersumpah laknat kali kedua depan Kaabah beliau diliwat Anwar

Oleh Md Izwan
May 02, 2013
Latest Update: May 03, 2013 12:31 am

PETALING JAYA, 2 Mei ― Saiful Bukhari mengakui bapanya, Azlan Mohd Lazim telah dihasut membuat kenyataan maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan hari ini mendedahkan sebuah klip video beliau membuat sumpah laknat kedua di tempat suci umat Islam Kaabah. Saiful berkata sangat jelas bapanya dihasut kerana individu yang mengatur sidang media tertutup tersebut adalah pemimpin PKR Datuk Johari Abdul.

“Bukankan jelas, individu yang mengatur sidang media tertutup tersebut adalah pemimpin PKR Datuk Johari.

“Saya tidak tahu siapa yang menghasut bapa saya tetapi yang jelas pemimpin parti tersebut yang rapat dengan bapa saya,” kata Saiful dalam satu sidang media di Hotel The Club, Bandar Utama di sini.

Semalam Azlan, 60, dalam satu sidang media telah menarik kenyataan maafnya kepada Anwar sekeluarga yang dibut pada 8 Mac lalu serta mengakui telah dipengaruhi pihak tertentu untuk bertindak sedemikian, malah Johari ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata rakyat boleh menilai sendiri sama ada dua beranak tersebut bercakap benar ataupun tidak.

Saiful berkata beliau lega dan bersyukur kerana bapanya sudah menyedari kesilapan yang dilakukan, serta mempertahankan kes liwat yang melibatkan dirinya dengan Anwar adalah benar dan bukan satu konspirasi politik.

“Saya bersyukur dan lega ... ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa kes liwat Anwar dan saya adalah benar, ia bukan satu konspirasi,” kata Saiful lagi.

Sejurus selepas itu, Saiful menayangkan satu klip video yang direkodkan di Mekah menunjukkan beliau melafaz sumpah laknat buat kali kedua yang dilakukan pada bulan April tahun lepas semasa mengerjakan Umrah.

“Selepas saya membuat sumpah dihadapan Kaabah, saya rasa amat lega dan hilang segala tekanan yang saya hadapi selama ini.

“Saya mengakui selepas keputusan di mahkamah lalu, saya tidak tenang dan kecewa ... akhirnya saya mengambil keputusan untuk menenangkan diri ke Mekah,” tambah beliau lagi.

Pada 8 Mac lalu, The Malaysian Insider melaporkan Azlan membuat keputusan mengejut apabila mengakui kes liwat kedua yang melibatkan anaknya dengan Anwar sebuah “konspirasi politik jahat” serta meminta maaf kepada pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) itu.

Sejurus selepas itu, Azlan pada 11 Mac dengan rasminya menghantar borang keahlian untuk menyertai PKR bagi bersama-sama parti tersebut untuk berkempen pada pilihan raya umum ke-13.

Kes liwat kedua Anwar bermula setelah  laporan polis dibuat oleh Saiful, bekas kakitangan beliau mendakwa telah diliwat oleh penasihat PKR tersebut.

Saiful mendakwa dirinya telah diliwat oleh Anwar di unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pada 7 Ogos 2008, Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Walau bagaimanapun, pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat ketetapan bahawa Anwar tidak bersalah atas kes liwat  yang dihadapi oleh beliau.

Namun, pada 20 Januari 2012 Pejabat Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful.

Notis itu yang ditandatangani oleh Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun telah difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur.

Pendakwaan memohon rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Saiful akan didengar Julai ini.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman hingga 20 tahun penjara dan sebat jika disabitkan kesalahan.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi