Bahasa

Sakit perut simptom kanser perut?

November 16, 2010

PETALING JAYA, 16 Nov – Nora, 47, terasa sakit sangat di perutnya sejak enam bulan yang lepas. Beliau percaya ia hanya masalah ‘angin’, tetapi sejak kebelakangan ini minyak angin yang menjadi penawar selama ini tidak lagi melegakan sakitnya itu.

Gary, 53, pula sering kali mengadu sakit gastrik sejak sebulan yang lepas. Apabila beliau ke klinik, doktor memberitahu beliau mengalami gastritis, dan mengesyorkan ubat untuk melegakan sakit itu. Doktor menasihatkan beliau supaya makan mengikut masa.

“Tetapi saya tidak faham,” kata Gary.

“Saya makan mengikut masa,” katanya.

Ia mungkin sukar untuk percaya tetapi simptom pada Nora dan Gary mungkin penunjuk awal masalah yang lebih besar – kanser perut.

Dr Ramesh Gurunathan, seorang pakar bedah Gastrousus di Pusat Perubatan Sunway, menyatakan bahawa kes kanser perut telah berganda di Malaysia berbanding 700 kes pada 1997 walaupun kes kanser ini berkurangan di seluruh dunia.

“Ini sesuatu yang membimbangkan,” kata beliau kepada Bernama di Kongres Ketiga Kanser Gastroesofageal di Pusat Perubatan Sunway.

Simptom

Kanser perut merupakan kanser ketujuh paling lazim dalam kalangan lelaki di  Malaysia, dan ke-10 paling lazim pada wanita.

Dr Gurunathan berkata ramai rakyat Malaysia bagaimanapun masih tidak sedar akan masalah sebenar di sebalik simptom ini. Ini kerana mereka sering kali menganggapnya sebagai sakit perut biasa disebabkan kerana tidak makan mengikut waktu atau amalan pemakanan kurang baik.

Beliau berkata mereka di Peringkat 1 atau Peringkat 2 kanser perut mungkin mengalami simptom berikut, yang lazimnya tidak banyak berbeza daripada sakit perut biasa:

* Senak perut atau rasa kurang selesa di bahagian perut

* Perut rasa macam ada angin, terutama selepas makan

* Cepat kenyang, walaupun makan sedikit sahaja 

* Pedih hulu hati

* Rasa mual

Bagaimanapun, kata beliau, ramai yang mengalami sebahagian sahaja simptom ini di peringkat awal. Simptom di peringkat lanjut kanser adalah lebih ketara, seperti najis berwarna hitam yang menunjukkan pendarahan di perut, kehilangan berat badan, hilang selera, rasa letih, sering kali muntah atau muntah darah.

“Malangnya, simptom ekstrem inilah yang akhirnya memaksa pesakit untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” kata Dr Ragunathan.

“Ketika itu ia mungkin terlalu lewat,” kata beliau.

Punca

Punca sebenar kanser perut masih tidak diketahui, tetapi terdapat faktor yang boleh meningkatkan risiko bagi kanser.

Kajian menunjukkan kehadiran bakteria Helicobacter Pylori, atau H. Pylori, dalam 70-90 peratus daripada pesakit dengan kanser perut.

Bakteria ini boleh bertindak sebagai kaseinogen yang akhirnya boleh menyebabkan kanser perut, kata Dr Ragunathan.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna semua yang dijangkiti akan menghidap kanser.

Beliau menunjukkan satu penemuan menarik daripada penyelidikan yang dijalankan di Malaysia di mana lebih ramai anggota masyarakat India dijangkiti H. Pylori berbanding masyarakat Cina, tetapi lebih ramai orang Cina pula menghidap kanser perut.

Dr Ragunathan berkata simptom awal jangkitan H. Pylori hampir sama dengan kanser perut, dan adakalanya pesakit dirawat menggunakan ubat sahaja.

“Tetapi jika simptom yang sama berulang walaupun selepas mengambil ubat, anda perlu ke hospital dan jalani pemeriksaan kesihatan,” kata beliau.

Ujian darah biasa boleh menentukan sama ada seseorang itu dijangkiti oleh H. Pylori. Rawatan mungkin semudah satu dos antibiotik selama seminggu, katanya.

Bolehkah jangkitan berulang? Ya mungkin, kata doktor, tetapi kemungkinannya sangat kecil.

Genetik

Kajian menunjukkan bahawa asal-usul etnik dan genetik juga memainkan peranan ketara dalam menentukan siapa yang lebih berkemungkinan untuk menghadapi kanser.

Statistik 2006 Institut Kanser Kebangsaan menunjukkan bahawa orang   Cina mewakili 61.7 peratus daripada pesakit kanser perut, diikuti oleh Melayu (25.9 peratus) dan India (12.4 peratus).

“Kami telah cuba mencari kaitan antara jenis diet yang eksklusif kepada setiap kumpulan etnik itu dan juga kemungkinan faktor lain, tetapi memandangkan pengaruh antara budaya di Malaysia, keputusannya tidak jelas,” katanya.

Elak makanan mentah

Pada masa yang sama, makanan mentah yang mengambil masa lama untuk dicerna boleh meningkatkan risiko kanser. Penemuan ini mempertikai kepercayaan segelintir pakar kesihatan, yang menggalakkan makanan mentah sebagai alternatif lebih sihat kepada makanan yang dimasak.

“Makanan mentah dikatakan antara sebab mengapa negara seperti Jepun menyaksikan kejadian kanser yang lebih tinggi,” kata Dr Ragunathan.

“Saya tidak berkata anda tidak langsung boleh makan sushi, tetapi mungkin boleh hadkannya kepada sekali setiap bulan.”

Selain itu, makanan yang digarami, disalai, jeruk atau makanan yang diawet, yang lazim di negara-negara seperti China, Korea dan Jepun, juga dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi bagi kanser perut.

Obesiti, penuaan dan tabiat buruk seperti merokok dan ketagihan alkohol juga dikatakan sebagai menyumbang kepada kanser perut.

Di Jepun, di mana insiden kanser perut sangat tinggi, imbasan dijalankan bagi mereka yang berusia 40 tahun dan lebih.

“Bagaimanapun, ia tidak mungkin dapat dilakukan di Malaysia kerana kadar kejadian tidak setinggi seperti di Jepun selain ia juga tidak berkesan daripada segi kos,” kata Dr Ragunathan.

Rawatan

Beliau berkata kanser perut boleh dikesan menggunakan kaedah endoskopi. Kaedah ini menggunakan satu tiub dengan lensa video pada hujungnya yang dimasukkan ke ruang dalam perut menerusi mulut.

Menggunakan kaedah ini, keseluruhan dinding boleh diperiksa secara visual dan diambil sampel tisu di tempat-tempat yang disyaki untuk menentukan kehadiran sel barah, jika ada.

Beliau berkata di hospital kerajaan, pemeriksaan menggunakan endoskop ini dijalankan pada harga yang murah iaitu RM20 kerana kosnya disubsidi kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, selepas itu doktor mungkin hanya mahu merawatnya dengan ubat-ubatan sahaja.

Oleh itu,  katanya, jika pesakit itu berusia lebih 45 tahun, mempunyai  kanser perut dalam sejarah keluarga dan mengalami simptom itu untuk satu tempoh, mereka harus memaklumkan ini kepada doktor dan bertanya: “Haruskah saya menjalani endoskopi?”

Jika kanser perut dikesan sementara ia masih di peringkat 1, pembedahan mungkin tidak perlu untuk mengeluarkan ketumbuhan.

“Ia boleh dikeluarkan menggunakan endoskop, dan bagi peringkat 2, satu pembedahan dikenali sebagai gastrostomi mungkin perlu,” kata Dr Ragunathan.

Prosedur ini membabitkan pembuangan separuh hingga keseluruhan perut bergantung kepada kedudukan ketumbuhan. Ini mungkin disusuli dengan rawatan kemoterapi atau radioterapi.

Bolehkah seseorang hidup tanpa perut? Jangan terkejut, doktor ini berkata boleh.

“Mereka masih boleh menikmati kehidupan yang agak baik. Satu-satunya masalah ialah mereka mungkin terpaksa makan sedikit-sedikit enam atau tujuh kali kerana tiada ruang - atau bagi mereka yang sebahagian daripada perut mereka yang dikeluarkan ruangnya terhad untuk menyimpan makanan,” katanya.

Bagaimanapun, peringkat 3 dan 4 mungkin sukar untuk dirawat, katanya.

“Rawatan bagi mereka ini lebih kepada penjagaan paliatif, radioterapi dan kemoterapi. Jadi jalani pemeriksaan awal jika anda mengesyaki sesuatu yang tidak kena. Ia boleh dirawat jika dapat dikesan awal.”

Dr Ragunathan merupakan pengerusi penganjur bagi kongres dua hari itu yang bermula pada 10 Nov dianjurkan oleh Kelab Pembedahan Gastrousus Atas Malaysia dan Kolej Pakar Bedah. Pakar-pakar terkemuka asing dan tempatan hadir dan berceramah di kongres itu, yang membincangkan topik berkaitan pembedahan bahagian atas gastorusus, satu bidang pengkhususan yang agak baru dan berkembang pesat di Malaysia. – Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi