Bahasa

Saman fitnah Ibrahim Ali terhadap Saifuddin dikembalikan

January 04, 2013

PUTRAJAYA, 4 Jan — Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengembalikan saman fitnah RM2 juta Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution Ismail.

Tiga panel hakim yang diketuai Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin sebulat suara membenarkan rayuan Ibrahim (gambar) dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membatalkan saman sivilnya.

Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel itu adalah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohtaruddin Baki dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk David Wong Dak Wah.

Berikutan keputusan itu, kes itu akan diremitkan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Panel hakim juga memerintahkan Saifuddin membayar RM15,000 sebagai kos guaman kepada Ibrahim bagi prosiding di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Dalam samannya yang difailkan pada 2 Jun, 2010, Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendakwa Saifuddin secara palsu dan dengan berniat jahat menerbitkan kenyataan fitnah pada edisi 27 April hingga 4 Mei akhbar Suara Keadilan dengan mendakwa bahawa Ibrahim terlibat dalam perniagaan perjudian.

Ibrahim mendakwa perkataan tersebut disebarkan dengan niat jahat untuk mencemarkan nama dan reputasi baiknya, dan perkataan itu telah menyebabkan beliau dihina, disingkirkan dan diabaikan orang awam.

Selain ganti rugi am berjumlah RM2 juta, Ibrahim turut menuntut satu injunksi melarang Anggota Parlimen Machang itu atau ejen beliau daripada mengulangi perkataan yang sama terhadapnya.

Pada 7 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Saifuddin untuk membatalkan saman itu. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi