Bahasa

San Miguel sah beli Esso, labur RM3b naik taraf loji penapis PD

KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Sementara beberapa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan menuntut penjelasan Putrajaya, San Miguel Corporation merancang untuk melabur sehingga AS$1 bilion untuk menaik taraf dan memasang peralatan baru di loji penapis berusia 48 tahun di Port Dickson.

Syarikat Filipina itu memperoleh 65 peratus pegangan kepentingan Exxon Mobil Corporation dalam tiga perniagaan yang beroperasi dalam sektor petroleum hiliran Malaysia.

Ahli Lembaga Pengarah San Miguel Corporation, Eric Recto berkata syarikat merancang untuk membawa jentera baru bagi menghasilkan lebih banyak produk nilai tambah di pasaran Malaysia.

“Kami menjangka pencapaian yang sama seperti mana yang kami lakukan semasa kami memperoleh Petron Corporation tiga tahun lepas.

“Loji penapis Malaysia merupakan aset berguna, memandangkan jumlah pelaburan yang dikeluarkan bagi menggantikan peralatan dan jentera lama,” kata beliau kepada wartawan Malaysia di sini melalui sidang suara dari Amerika Syarikat hari ini.

San Miguel Corporation menguasai 68 peratus ekuiti dalam Petron Corp.

Dipetik Bernama Online, Recto yang juga Presiden Petron Corp berkata, perancangan akan dilaksanakan dalam proses jangka panjang antara tiga hingga lima tahun.

ExxonMobil dan San Miguel Corporation menandatangani perjanjian jual beli bagi ExxonMobil menjual pegangan 65 peratusnya dalam syarikat dagangan petroleum yang tersenarai, Esso Malaysia Bhd dan syarikat milik penuhnya ExxonMobil Malaysia Sdn Bhd serta ExxonMobil Borneo Sdn Bhd kepada entiti Filipina yang amat pelbagai itu pada RM614.25 juta atau RM3.50 sesaham.

San Miguel Corporation merupakan konglomerat perniagaan Filipina dan syarikat induk Petron Corp, syarikat penapisan dan pemasaran minyak terbesar di Filipina.

Anak syarikatnya yang dikuasai 68 peratus, Petron Corp, adalah syarikat penapisan dan pemasaran minyak bersepadu di Filipina, dengan kapasiti penapisan sebanyak 180,000 tong sehari dan lebih 1,700 stesen di seluruh Filipina.

Mengikut perjanjian tersebut, selain loji penapis Port Dickson, 10 terminal pengedaran bahan api (tujuh aktif), kira-kira 560 tapak bahan api runcit berjenama (420 milik syarikat), serta perniagaan bahan api Perindustrian dan Borong serta Penerbangan ExxonMobil, akan dikuasai oleh San Miguel Corporation.

Recto berkata kerja-kerja menaik taraf, akan membolehkan loji penapis Port Dickson yang kini mengeluarkan 50,000 tong sehari dapat memaksimumkan kapasiti pengeluaran kilang sebanyak 88,000 tong sehari.

Pelaburan berkenaan, kata beliau, akan dibahagikan kepada dua segmen, di mana 70 peratus akan diperoleh daripada institusi kewangan manakala baki 30 peratus adalah daripada San Miguel.

“Dalam hal ini, operasi ExxonMobil Malaysian boleh berdiri sendiri, memandangkan ia akan membiayai 30 peratus daripada operasinya di Malaysia.

“Hanya sekiranya bantuan pelaburan diperlukan, baru SMC terlibat. Bagaimanapun, kami akan amat berhati-hati dari mana wang berkenaan diperoleh,” kata beliau yang mengaitkan kebimbangan daripada warga tempatan mengenai dari mana wang akan diperoleh memandangkan San Miguel Corporation pada mulanya merupakan syarikat bir.

Recto menjelaskan bahawa pada masa ini, San Miguel Corporation yang berpangkalan di Filipina, merupakan konglomerat yang amat pelbagai dengan perniagaan terdiri daripada makanan dan minuman hingga petroleum, tenaga dan infrastruktur serta syarikat sekarang memperoleh lebih 70 peratus daripada perolehannya daripada segmen bukan makanan dan minuman.

Mengenai bank pula, Recto berkata bank-bank dari Malaysia dan Filipina berminat untuk membiayai perbelanjaan pelaburan syarikat.

“Tidak diragukan yang bank-bank Malaysia akan diberikan keutamaan, memandangkan pencapaian dan kemampuan mereka,” katanya.

Dalam usaha meningkatkan modal insan, Recto berkata San Miguel Corporation berjanji tidak akan memberhentikan mana-mana kakitangan operasi sedia ada di loji penapis serta perniagaan lain memandangkan ia akan memerlukan mereka semua, malah lebih banyak pekerja diperlukan di masa depan, seiring dengan sasaran syarikat untuk memaksimumkan penggunaan loji penapis itu.

“Kami akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keutamaan pertama adalah untuk warga Malaysia.

“Apabila pertama kali kami memperoleh loji penapis Manila, kami memerlukan kira-kira 20 hingga 25 peratus pekerja tambahan bagi membina semula dan menyusun semula loji,” katanya dan menambah bahawa peluang pekerjaan yang sama mungkin juga diperlukan di Port Dickson.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.