Bahasa

Sasterawan Negara nafi menyorok berhubung bendera “Sang Saka Malaya”

Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk A. Samad Said (pic) menafikan beliau kini bersembunyi dari pihak polis berhubung isu kibaran bendera Sang Saka Malaya pada malam ambang merdeka.

Samad ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata beliau kini sedang menghadiri perjumpaan di sebuah hotel di ibu negara.‎

"Tidak saya tidak tahu akan hal itu, dan saya juga tidak lari malah saya sebentar tadi sebelum datang ke perjumpaan Yayasan Usman saya singgah ke KLCC, tidak ada apa yang berlaku saya tidak ditahan atau cuba bersembunyi," katanya kepada The Malaysian Insider

“Tidak, tidak ada yang salah dengan bendera itu ,saya tidak tahu mengapa mereka begitu tergugat,” katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pagi ini meminta sasterawan negara itu menyerah diri kepada polis bagi membantu siasatan berhubung tindakan individu yang mengibar bendera Sang Saka Malaya berhampiran Dataran Merdeka pada Jumaat malam lalu.

Khalid mendakwa Samad “menyorok” ketika polis menjalankan operasi mengesan sasterawan itu pada malam tadi.

"Polis akan memberi masa untuk A. Samad Said datang kepada kita, dan sekiranya beliau gagal kita akan bertindak menahan dia,"katanya kepada media.

Tegas Khalid lagi tidak ada mana pihak yang boleh mecabar undang-undang sekiranya mereka berani melakukan perkara demikian maka pihak tersebut juga harus berani bertanggugjawab.

Semalam dua aktivis, Hishamuddin Rais dan Adam Adli Abdul Halim yang ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mengibarkan bendera Sang Saka Malaya pada malam sambutan Hari Kemerdekaan ke 56 di Dataran Merdeka dibebaskan awal pagi ini.

Malam tadi, kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur untuk disiasat mengikut akta itu.

“Tuduhan kibar bendera Sang Saka di bawah Akta Hasutan. Polis datang geledah rumah. Bebas di rumah jam 3 pagi dengan seorang penjamin. Tunggu siasatan sama ada ke mahkamah atau tidak,” kata Hishamuddin dalam satu kiriman pesanan ringkas (SMS) kepada The Malaysian Insider awal pagi ini.

Perbuatan mengibarkan bendera Sang Saka Malaya itu tersebar dalam laman sosial Youtube.

Berlaku ketegangan apabila kelibat seorang pemuda yang menjerit kepada kumpulan tersebut berkata "Itu bendera Malaysia."

Selain itu, tiga buah badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Sasterawan Negara Samad dan Hishamuddin berhubung insiden mengibarkan bendera itu.

Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIM) dan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul termasuk  Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) apabila menggesa polis mengenakan tindakan tegas di bawah Akta Hasutan terhadap Hishamuddin dan Adam Adli serta Sasterawan Negara, Samad.

Turut membidas perbuatan tersebut, Tan Sri Dr Rais Yatim dalam laman twitternya semalam.
"Tahniah kepada remaja yang mengagalkan percubaan A Samad Said  menujar jalur Gemilang kelmarin. Samad sudah nampak kehilangan lirik sajaknya,"katanya.

Sementara itu  Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamid pula dilapor berkata polis sedia menyiasat  pihak yang mengibar bendera 'Sang Saka Malaya' jika ada laporan dibuat mengenainya.

Polis Kuala Lumpur menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat insiden mengibarkan bendera Sang Saka Malaya pada malam sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh memberitahu Bernama, pasukan khas itu akan menyiasat insiden itu daripada pelbagai sudut dan membuka kertas siasatan berhubung insiden itu. - 3 September, 2013.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.