Saya sedia buat pra-tonton untuk PR, kata pengarah eksekutif ‘Tanda Putera’
PETALING JAYA, 15 Ogos ― Pengarah Eksekutif Pesona Pictures Sdn Bhd, Aida Fitri Buyong hari ini menyatakan kesediaan untuk mengadakan pra tonton filem kontroversi “Tanda Putera” khas kepada pembangkang Pakatan Rakyat sekiranya mereka membiayai kos untuk tujuan tersebut.
Bagaimanapun, Aida jelasnya, beliau juga bersedia mengadakan sesi pra tonton tertutup untuk pakatan pembangkang itu, namun bukanlah untuk semakan semula filem berkenaan.
“Saya bersedia untuk mengadakan pra tonton untuk Pakatan Rakyat, namun bukanlah semakan semula filem itu.
“Kita boleh lakukan perkara itu. Ramai yang meminta agar kami mengadakan sesi pra tonton tertutup,” katanya ketika ditanya ketika sidang media berhubung tarikh baru tayangan filem berkenaan.
“Kami gesa mereka yang berminat untuk tampil dan membiayai kos pratonton tertutup ‘Tanda Putera’,” katanya lagi.
Kenyataan Aida itu dilihat selari dengan kenyataan sutradara filem berkenaan, Datin Paduka Shuhaimi Baba yang mengatakan kos untuk majlis pra tonton akan menelan jumlah yang besar.
“Beberapa wakil parti politik baru-baru ini ada menyatakan hasrat untuk mempratonton ‘Tanda Putera’ untuk penilaian semula.
“Kami ucapkan terima kasih ... namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana majlis pra tontoton sebenarnya melibatkan kos tinggi ... kami tidak berupaya menunaikan semua permintaan,” kata Shuhaimi ketika sidang media di sini.
Filem ‘Tanda Putera’ yang dibarisi pelakon terkenal tanah air turut menampilkan Rusdi Ramli yang memegang watak utama selaku Tun Abdul Razak dan Zizan Nin memegang watak Tun Dr Ismail.
Kontroversi filem ini bermula apabila dikatakan terdapatnya watak pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dalam filem berkenaan yang turut memuatkan adegan ketika peristiwa hitam 13 Mei.
Ekoran daripada perkara itu, neberapa pemimpin pembangkang mula mendesak penerbit untuk mengadakan pra tonton khas kepada mereka sebelum filem ini diluluskan untuk tontonan ramai.
Filem ini akan mula menjengah pawagam bermula 15 November 2012, dianjak daripada tarikh awal tayangannya iaitu pada 13 September tahun ini.
Jelas Shuhaimi, filem terbitan Pesona Pictures dan usahama Finas ini juga tidak bermotifkan politik dan bersifat perkauman, sebaliknya ia dihasilkan demi mengenang jasa dua tokoh tersohor negara itu.
“Sebagai pembikin filem, ini hak kreatif kami dan kami tidak akan tunduk kepada mereka yg mahu boikot filem ini, walaupun ada usaha untuk mempolitikkan filem ini, dan menghalangnya daripada ditayangkan.
“Filem ini dihasilkan berdasarkan fakta, bukan persepsi,” tambahnya yang turut menolak filem itu dihasilkan untuk pilihan raya umum ke-13 akan datang.
“Kita boleh lakukan perkara itu. Ramai yang meminta agar kami mengadakan sesi pra tonton tertutup,” katanya ketika ditanya ketika sidang media berhubung tarikh baru tayangan filem berkenaan.



