Bahasa

Saya tidak mohon maaf, ia fakta sejarah, kata presiden Isma

Presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman bertegas kenyataannya adalah fakta sejarah mengenai orang Cina di Malaysia. Gambar fail.Presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman bertegas kenyataannya adalah fakta sejarah mengenai orang Cina di Malaysia. Gambar fail.Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman hari ini menyelar DAP kerana membuat laporan polis terhadapnya atas apa yang didakwanya sebagai "fakta sejarah" mengenai orang Cina di Malaysia.

"DAP sepatutnya lebih demokratik, kenapa saya tidak dibenarkan untuk mengatakan apa yang saya ingin? Mereka mendakwa mereka berjuang untuk kebebasan bersuara, tetapi jelas mereka tidak.

"Tindakan mereka menunjukkan mereka tidak gentlemen," katanya kepada The Malaysian Insider, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke parti itu akan membuat laporan polis terhadapnya di seluruh negara atas kenyataannya terhadap masyarakat Cina.

Abdullah berkata semalam, orang Cina yang datang ke Tanah Melayu adalah "penceroboh" dan mempersoalkan kerakyatan dan kekayaan diberikan kepada mereka tetapi tidak menyatakan bagaimana cara untuk membetulkan yang dikatakan salah itu.

Kenyataannya mencetuskan kemarahan di kalangan masyarakat Cina, dengan ahli-ahli politik pelbagai kumpulan menuntut tindakan diambil terhadapnya.

Hari ini DAP dan MCA membuat laporan polis terhadap Abdullah di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis memulakan siasatan ke atas Abdullah di bawah Akta Hasutan.

Khalid juga memberi amaran kepada semua pihak yang membuat kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan.

Bagaimanapun, Abdullah berkata, kenyataan beliau tidak ada salahnya kerana beliau hanya menyatakan "satu fakta sejarah".

"Mengapa saya perlu memohon maaf untuk apa yang saya kata sebagai satu fakta sejarah; Cina terlupa asal-usul mereka, jadi saya mesti mengingatkan mereka.

"Saya enggan memohon maaf, mereka  (Cina) yang perlu berhati-hati dengan perasaan kita (orang Melayu).

"Mereka tidak seharusnya meminta kita saja yang menjaga perasaan mereka," kata Abdullah.

Abdullah berkata, beliau tidak terganggu dengan siasatan yang dimulakan polis terhadapnya, dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis.

Semalam, Abdullah bertanya melalui laman web Isma: "Siapa yang memberikan mereka kewarganegaraan dan kekayaan sehingga tindakan pencerobohan mereka dilindungi sehingga hari ini?

"Ini semua perlakuan British, yang bekerjasama dengan China untuk menindas dan membuli orang Melayu,” katanya.

Abdullah berkata, ini adalah satu kesilapan yang terpaksa diperbetulkan tetapi dia tidak mengatakan bagaimana.

"Tiada siapa yang mempunyai hak untuk menggadaikan kedaulatan Islam dan Melayu di atas tanah ini," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web Isma semalam. – 7 Mei, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.