Bahasa

Sejumlah 22 DUN di Kedah kini ‘putih’ kepada BN — Ahmad Bashah

ALOR SETAR, 2 April — Sebanyak 22 daripada 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah kini dilihat ‘putih’ kepada Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Enam lagi kawasan dikategori ‘kelabu putih’ kepada BN, dan parti komponen itu boleh menang di 28 kerusi DUN untuk merampas kembali Kedah dengan majority dua pertiga.

Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata bagi kawasan Parlimen, BN Kedah menyasar 11 kerusi daripada 15 kawasan, iaitu tujuh dikategori ‘putih’ dan empat ‘kelabu putih’.

“Kita percaya pengundi yang berstatus atas pagar akan memihak kepada kita setelah apa yang telah kerajaan BN (Persekutuan) buat selama lima tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Jelajah Gelombang Biru Parlimen Kuala Kedah hari ini.

Untuk rekod, bagi membentuk kerajaan negeri memerlukan 19 kerusi DUN bagi majoriti mudah, dan 24 kerusi untuk majoriti dua pertiga.

Ahmad Bashah berkata secara keseluruhan, peratusan pengundi kaum India yang menyokong BN boleh mencapai 85 peratus manakala pengundi kaum Cina pula disasar sekurang-kurangnya 40 peratus.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pada PRU13, nama calon bertanding akan diumum seminggu lebih awal berbanding sehari sebelum penamaan calon sebelum ini.

“Antara kelebihan penamaan calon diumum lebih awal ialah calon boleh memperkenalkan diri dan beramah mesra dengan orang ramai serta tidak ada sesuatu (masalah) di sebalik penamaan calon itu sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Bashah meminta petugas melipatgandakan usaha di pusat daerah mengundi bagi memastikan pengundi di kawasan mereka seramai mungkin menyokong BN.— Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.