Bahasa

Seksualiti Merdeka: Majlis Peguam mahu Najib jamin hak golongan LGBT

KUALA LUMPUR, 2 Nov — Majlis Peguam menggesa pihak berkuasa berhenti daripada mengambil tindakan pendakwaan ke atas golongan minoriti seksual jika mahu Malaysia dihormati sebagai sebuah negara demokratik, kata Presidennya Lim Chee Wee.

Sehubungan itu Majlis Peguam juga mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengotakan kata-kata beliau berada di Australia baru-baru ini bahawa Malaysia merupakan negara demokrasi yang progresif dan bukannya penindas kumpulan pelarian dan pencari suaka dalam membela nasib kumpulan minoriti seksualiti.

Di sebalik kontroversi terbaru berkaitan dengan penganjuran program tahunan Seksualiti Merdeka, Lim (gambar) berkata, Majlis Peguam sekali lagi bangga dalam menganjurkan usaha itu dengan bertemakan “Queer Without Fear”.

“Kami menganggap komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai golonagn yang berhadapan dengan tindakan pendakwaan atas asas orientasi seksual dan identiti jantina,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, tidak dapat dinafikan bahawa ada pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan orientasi seksual dan identiti gender anggota komuniti LGBT.

“Tetapi minoriti seksual ini, malah komuniti-komuniti minoriti yang lain perlu dilindungi,” kata beliau sambil menambah, kebebasan individu tidak bermakna jika mereka didampingi secara selektif ataupun bagi mereka yang bersetuju dengan pandangan majoriti.

Sehubungan itu Lim berkata Najib ada menulis dalam akhbar Sydney Morning Herald bahawa Malaysia bukan merupakan negara penindas atau negara yang ketinggalan sehingga dilihat sebagai negara mengambil tindakan pelarian dan pencari suaka.

“Majlis Peguam mahu PM Najib Razak melaksanakan pemikiran yang sama dalam menghormati komuniti LGBT di Malaysia,” kata Lim.

Tambah beliau, jika Najib dengan serius mahu meyakinkan khalayaknya di Australia dan juga di Komanwel malah di dunia pada amnya bahawa Malaysia merupakan sebuah negara progresif dan liberal, beliau seharusnya menamatkan penindasan dan pendakwaan ke atas minoriti seksual di Malaysia.

Lim berkata dalam tulisan berupa pendapatnya dalam akhbar itu, Najib juga mengatakan bahawa “kami ini masyarakat pelbagai budaya dan etnik yang mempunyai sejarah yang panjang dan bangga dengan keharmonian sosial dan mengalu-alukan kedatang orang luar.”

Bagaimanapan tegas Lim, komuniti LGBT dilayan seolah-olah “orang luar” meskipun mereka merupakan rakyat negara ini.

“Anggota LGBT di Malaysia berhadapan dengan pelbagai halangan termasuk kurangnya keselamatan peribadi ekoran tindakan pihak berkuasa sivil dan syariah, hidup dalam ketakutan akan didakwa atas perbuatan peribadi mereka,” katanya.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.